am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pekerja pemasangan paip maut manakala rakan sekerjanya cedera apabila terkena besi daripada alat gerudi berhampiran stesen minyak, Jalan Sulaman, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 20-an dan 30-an dipercayai sedang menjalankan kerja pemasangan paip bersama beberapa pekerja lain.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kedua-dua mangsa adalah warga tempatan.
Menurutnya, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan jam 3.37 petang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati dua mangsa cedera akibat terkena serpihan besi daripada alat gerudi.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kasim berkata, seorang lagi yang cedera dihantar ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat sebagai kes kematian mengejut (SDR),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd