Susulan khabar angin tular, pelakon yang juga bekas isteri kepada usahawan, Raf Yaakob iaitu Mawar Rashid menafikan kononnya dia bakal berkahwin dengan seorang jejaka dari Brunei.
Kata Mawar atau nama lengkapnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, dia terkejut dengan gosip liar tersebut sekali gus menyifatkan dakwaan itu sebagai satu kekeliruan.
Tambahnya, berkemungkinan gosip itu terpalit dengan dirinya dek kerana ibunya, Marineei Abdullah telah mendirikan rumah tangga dengan jejaka asal negera itu.
“Kalau Mawar pun tak tahu, macam mana Mawar nak jawab? Mawar pun terkejut dapat tahu khabar angin ni kan. Mungkin salah orang, salah ibu tunggal kot.
“Mungkin relate dengan Mawar sebab Mummy Mawar baru kahwin orang Brunei kan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Aktres Jelita Berstatus Ibu Tunggal Dikhabarkan Nak Berkahwin, Jejaka Brunei Jadi Pilihan?
Mawar berkongsi perkara demikian ketika ditemui pada majlis Pre Buffet Nikmat Iftar Ramadan yang di adakan di Tiffin 55, Wangsa Maju pada Sabtu.
Enggan mengulas lanjut soal jodoh, Mawar menegaskan fokus utamanya kini adalah anak-anak, terutama anak sulungnya, Rafael yang baru melangkah ke alam persekolahan.
“Sekarang Mawar fokus kat anak-anak. Tu saya punya priority sekarang. Terutamanya Rafael… anak Mawar yang pertama tu baru masuk darjah satu.
“Memang tak sempat nak keluar ke apa. Rutin pun dah berbeza,” jelasnya.

Untuk rekod, Mawar dan bekas suami, Raf Yaakob mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 sebelum disahkan bercerai pada November 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta, dan Raden Seri Riyanna Sayang.






