Budapest: Juara dunia Formula Satu empat kali, Max Verstappen menamatkan segala spekulasi mengenai masa depannya apabila mengesahkan akan kekal bersama Red Bull bagi musim perlumbaan 2026.
Pengumuman itu hadir selepas khabar angin bertiup kencang mengatakan pemandu Belanda itu bakal berhijrah ke Mercedes susulan perubahan besar era enjin baharu dalam saingan F1 musim depan.
Namun Verstappen tampil tenang menolak spekulasi itu ketika ditemui media di Grand Prix Hungary, sambil menegaskan komitmennya kepada Red Bull tidak pernah goyah.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk tamatkan semua khabar angin. Bagi saya, memang dari awal sudah jelas yang saya akan terus kekal,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, komunikasi berterusan dengan pasukan membuktikan bahawa hubungannya dengan Red Bull kekal kukuh dan tiada petunjuk bahawa dia mahu angkat kaki.
“Kami sentiasa berbincang tentang pembangunan kereta dan masa depan. Kalau saya nak tinggalkan pasukan, saya tidak akan terbabit lagi dalam perbincangan seperti itu,” katanya.
Musim 2026 bakal menyaksikan revolusi dalam Formula Satu apabila era enjin baharu diperkenalkan sekali gus dijangka mengubah hierarki kejuaraan.
Mercedes diramal tampil lebih kompetitif dalam era baharu ini, sementara Red Bull pula akan menggunakan enjin keluaran sendiri selepas berpisah dengan Honda.
Namun Verstappen jelas meletakkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan pasukannya membina jentera kompetitif meskipun berdepan cabaran baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd