Maxis Raikan Graduan Kohort Pertama Program Menuju Gemilang, Terus Sokong Pelajar Ke Menara Gading

Maxis Raikan Graduan Kohort Pertama Program Menuju Gemilang, Terus Sokong Pelajar Ke Menara Gading


Maxis telah meraikan 40 graduan Kohort 2025 Program Menuju Gemilang selepas menduduki peperiksaan SPM 2025 dan menyambut penyertaan sebanyak 200 orang murid Tingkatan 4 bagi Kohort 2026 dalam majlis yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Tuan Zainal Abas dan turut dihadiri Pengerusi Maxis Berhad, YBhg. Datuk Johan Idris.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Maxis dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kerjasama ini diwujudkan bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan mencapai kecemerlangan akademik serta bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

Kohort pertama telah melibatkan sebanyak 240 pelajar daripada 20 buah sekolah terpilih di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak. Hasil daripada program tersebut telah menunjukkan  jumlah pelajar yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas meningkat kepada 33 peratus berbanding peperiksaan percubaan, manakala empat pelajar berjaya meraih 9A dan ke atas dalam SPM 2025.

Selain penyampaian sijil graduasi, majlis juga turut menyaksikan pengiktirafan Menuju Gemilang Stars, sesi penerokaan kerjaya serta penyerahan komputer riba kepada peserta bagi menyokong pembelajaran digital. Maxis juga turut memperuntukkan geran pendidikan sebanyak RM50,000 kepada pelajar terbaik untuk membantu mereka meneruskan pengajian.

Program Menuju Gemilang bukan sahaja menawarkan bimbingan akademik, malah merangkumi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan kepimpinan serta bimbingan laluan pendidikan dan peluang biasiswa. Tempoh program ini turut dilanjutkan daripada 18 bulan kepada 24 bulan bagi untuk memastikan peserta dapat menerima sokongan selepas tamat SPM.

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Maxis eKelas yang memberi fokus kepada pembangunan pendidikan digital kepada komuniti B40. Peserta yang dipilih berdasarkan pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum dan potensi kepimpinan. Ianya selaras dengan usaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing untuk melangkah ke alam pendidikan tinggi dan kerjaya.

Kredit gambar: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia






Source link

OR

Scroll to Top