Konsert Rock Car Park bakal menggegarkan Kuala Lumpur pada 9 Mei 2026 apabila dijadual berlangsung di Rooftop Campbell Complex, Jalan Dang Wangi. Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media yang diadakan di lokasi sama bagi memperkenalkan konsep acara, perancangan promosi serta hala tuju penganjuran.
Antara kumpulan rock yang disahkan membuat persembahan ialah MAY, Sofea, Bloodshed, Wicitra dan Shasha and The Boys, manakala beberapa lagi nama akan diumumkan secara berperingkat.

Konsert ini mengetengahkan persembahan rock dalam suasana urban terbuka, sekali gus memberi pengalaman berbeza berbanding konsert konvensional serta menghimpunkan peminat pelbagai generasi.
Menurut Pengarah Urusan, Najmi Rahim, penganjuran ini diyakini mampu memberi nafas baharu kepada perkembangan muzik rock tempatan dan mengangkat semula kedudukannya dalam arus perdana hiburan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khairul Mustaqim Zainal pula berkata acara itu bukan sekadar hiburan tetapi ruang penyatuan komuniti rock, di samping memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, kelancaran operasi dan keselesaan penonton.
Jualan tiket dibuka menerusi Ticket2U bermula 12 Februari 2026 dengan harga presale RM100, early bird RM120 dan normal RM150. Turut ditawarkan pakej eksklusif tambahan RM289 yang merangkumi T-shirt serta kasut edisi terhad Rock Car Park keluaran Fung Keong.
Penganjur berharap konsert ini dapat dijadikan acara tahunan serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan sambil menghidupkan kembali semangat rock dalam kalangan peminat muzik negara.






