Maya Karin belum bersedia berlakon drama

Maya Karin belum bersedia berlakon drama



norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Maya Karin, 45, masih belum bersedia berlakon drama disebabkan beberapa faktor yang perlu diambil kira walaupun ada mendapat tawaran.

Maya berkata, dia mengimpikan peluang berlakon drama genre penyiasatan seperti CSI: Crime Scene Investigation yang disifatkan mempunyai kisah ‘plot twist’ dan perlu banyak berfikir.

“Tawaran untuk berlakon drama memang ada. Tapi, saya belum bersedia lagi untuk masuk dalam dunia drama. Saya selalu cakap, bergantung pada naskhah cerita, pengarah dan rakan pelakon lain.

“Apapun, saya adalah salah seorang daripada ‘big fan’ drama pembunuhan misteri dan penyiasatan seperti CSI yang bila kita tonton itu sentiasa akan meneka untuk cari siapa pelaku sebenarnya.

“Dalam pencarian jawapan itu, mesti ada juga ‘plot twist’ kisahnya yang perlu kita tonton sampai akhir. Tapi di dalam industri kita sekarang, ia masih tidak diperkembangkan lagi (drama genre penyiasatan).

“Sebabnya mungkin bajet juga kerana adalah lebih senang untuk kita buat cerita-cerita cinta pasangan kekasih,” katanya ketika ditemui untuk mempromosikan filem terbaru lakonannya iaituTelaga Suriram.

Maya berkata, bagi menghasilkan drama penyiasatan berkualiti sudah tentu memerlukan kreativiti dalam pengolahan cerita sebab nak kena mewujudkan ‘plot twist’.

“Pada saya, tawaran drama ingin didapatkan peluangnya adalah seperti CSI di TV yang mana setiap episodnya mesti ada elemen mengejutkan untuk penonton meneka apa sebenarnya terjadi.

“Tapi, di Malaysia ketika ini masalah utama adalah kekurangan bajet dan kreativiti kerana sesiapa yang menulis naskhah sebegitu (skrip penyiasatan) mereka perlu dibayar setimpal.

“Maklumlah kena sentiasa cari idea untuk dijadikan jalan cerita yang kreatif. Umpama drama seperti Juvana dan Nur Kasih dulu yang sentiasa orang tunggu nak tengok setiap minggu dengan ‘rating’ lebih empat juta setiap episod,” katanya.

Menurut Maya, bagaimanapun dia gembira mendapat peluang berlakon filem Telaga Suriram yang bergenre pembunuhan misteri arahan Osman Ali yang disifatkan satu skrip bijak untuk watak Rohaya.

Katanya, filem yang turut dimuatkan eleman seram itu tidak menampilkannya sebagai hantu tetapi wanita yang diselubungi misteri sekali gus ia membuat penonton pasti ingin tahu siapa sebenarnya Rohaya?

Selain Maya, Telaga Suriram yang ditayangkan pawagam tanah air pada Mei nanti juga dibintangi pelakon seperti Farid Kamil, Ellie Suriaty Omar, Nabila Huda, Scha Alyahya dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR