Mayat bayi ditemukan dalam tandas wanita

Mayat bayi ditemukan dalam tandas wanita



am@hmetro.com.my

Sungai Besar: Orang ramai yang berkunjung ke sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini, gempar apabila menemukan mayat seorang bayi di dalam tandas wanita, semalam.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, bayi yang tidak dapat dikenal pasti jantina dan bangsa itu ditemukan di dalam mangkuk tandas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 12 tengah hari.

“Polis bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Md Yusof berkata, siasatan awal mendapati rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berjaya merakam dua individu disyaki suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Terdapat pergerakan seorang wanita hamil ditemani seorang lagi wanita masuk ke dalam tandas.

“Kedua-duanya didapati menaiki sebuah Perodua Bezza berwarna biru, manakala nombor pendaftarannya pula tidak jelas,” katanya.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu dan suspek utama kes berkenaan.

“Ini kerana suspek menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, polis meminta kerjasama daripada mana-mana saksi yang terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top