July 19, 2024

Mayat kedua mangsa insiden bot nelayan terbalik ditemukan terdampar di Pantai Koris

Mayat kedua mangsa insiden bot nelayan terbalik ditemukan terdampar di Pantai Koris


BATU PAHAT – Mayat kedua mangsa insiden bot nelayan terbalik yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Segenting di sini ditemukan terdampar di Pantai Koris, Senggarang oleh orang awam pada 11.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yusuf berkata mayat Tan Hai Lian, 62, kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) yang memasuki hari ketiga menetapkan sektor pencarian merangkumi keluasan 129 batu nautika di laut dan keluasan 104 batu nautika oleh pesawat udara dan dimulakan pada 7 pagi.

“Terdahulu, empat nelayan dilaporkan hilang dan seorang berjaya diselamatkan oleh nelayan lain setelah bot yang mereka naiki terbalik akibat cuaca buruk Jumaat lepas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, mayat tekong iaitu Chiah Kah Chong, 53, ditemukan pada 7 malam oleh nelayan yang kebetulan lalu di kawasan berhampiran bot dilaporkan terbalik.

Mohd Haniff juga berkata Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Johor Bahru telah menerima makluman daripada Jabatan Laut Malaysia mengenai insiden seorang penumpang feri MV Cas terjatuh ke dalam laut di kedudukan 16 batu nautika Parit Jawa, Muar hari ini.

Beliau berkata Juli Afriko, 30, yang juga warga Indonesia, dilaporkan terjatuh pada kira-kira 3 petang ketika feri yang dinaiki mangsa dalam perjalanan ke Bengkalis.

“Berikutan kejadian tersebut, Zon Maritim Batu Pahat telah menggerakkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia bagi melaksanakan OP Carilamat di lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh laut bagi melakukan pencarian,” katanya.

Pencarian dibahagikan kepada sembilan sektor iaitu enam membabitkan laut serta tiga membabitkan udara dengan bantuan pesawat MI 171 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain pesawat AW 139 milik Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top