farid_noh@bh.com.my
Johor Bahru: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tembak di kawasan sebuah stesen minyak di Gelang Patah, Iskandar Puteri, selain penemuan mayat seorang lelaki yang ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian jam 1.40 pagi semalam, apabila satu mayat lelaki dengan beberapa kesan tembakan di bahagian badan ditinggalkan di HSA tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa (si mati) ditinggalkan oleh dua individu yang sedang dikenal pasti menggunakan kereta berwarna gelap.
“Semakan padanan cap jari mendapati si mati adalah seorang lelaki India berusia 42 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Bedah siasat yang dijalankan oleh pegawai perubatan mengesahkan punca kematian disebabkan ‘multiple gunshot wounds to the chest and abdomen’.
“Hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian, kira-kira jam 12.12 tengah malam berlaku insiden serangan dipercayai bermotifkan samun di kawasan stesen minyak di Gelang Patah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang kumpulan lelaki lain yang bersenjatakan pistol, mengakibatkan tembakan dilepaskan.
Katanya, bertindak atas maklumat, pada 7 malam hari sama, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri menangkap dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga India berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Turut dirampas sepucuk pistol jenis Glock 19; buku lesen pemilikan senjata dan peluru; kelopak peluru berisi enam butir peluru bersaiz 9mm; sebuah kereta Honda Accord warna hitam dan kelongsong peluru.
“Seorang daripada suspek bekerja sebagai pengawal peribadi dan siasatan awal mendapati mempunyai lesen pemilikan senjata.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dibuat berkaitan status pemilikan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Julai bagi siasatan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti kaitan si mati dan suspek dengan kedua-dua insiden berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh; Seksyen 148 Kanun Keseksaann kerana memiliki senjata dalam rusuhan selain Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan bukan di padang tembak.
“Siasatan diteruskan untuk mengesan suspek yang masih bebas.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta terutama di media sosial dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam,” katanya.
Polis Johor turut memberi jaminan bahawa insiden yang berlaku adalah kes terpencil dan sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan isu keselamatan atau ancaman kepada negeri ini khususnya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke Talian Hotline Polis Johor di nombor 019-2792095 atau Talian Bilik Gerakan di 07-2212999.
© New Straits Times Press (M) Bhd