Putrajaya: Mayat seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan reput berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 September lepas.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7.50 malam mengenai penemuan mayat berkenaan.
“Keadaan mayat telah mereput dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak. Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih kurang seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa masih berpakaian lengkap, memakai baju T-shirt putih jenama Drum bersaiz XS bertulis ‘Fear Less’ serta seluar kargo pendek berwarna krim bersaiz L.
Menurutnya, setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat.
Azman berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Serdang mendapati empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Susulan itu, beliau meminta kerjasama orang awam atau waris agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Deputi Superintendan Tee Ah Chew di talian 018-2183555.
© New Straits Times Press (M) Bhd