JASA dan sumbangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang meninggal dunia petang Isnin, tidak terhitung dalam memajukan sukan negara.
Bekas Ketua Pengarah MSN dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata, Allahyarham yang menerajui MSN selama 12 tahun terkenal sebagai arkitek dalam pembangunan sukan negara telah membuka laluan kepada penerapan sains sukan selain menetapkan penanda aras tinggi dalam pengurusan prestasi atlet serta struktur pentadbiran sukan bersepadu.
“Banyak jasa dan bakti bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi apa yang dikesankan dalam sukan dan ini tentu sekali diakui oleh pengganti-pengganti Allahyarham.
“… dan pastinya kami sentiasa mengenangkan contoh diberi kepada kita supaya dapat teruskan perjuangan Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Mazlan, 75, di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini pada Selasa.
Bekas Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dari 1992 hingga 1994, Ghazali Bujang berkata, Allahyarham memainkan peranan besar dalam membina asas pembangunan renang dan sukan terjun negara.
Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang yang berdisiplin, baik di pejabat mahupun di rumah namun tetap penyayang terhadap keluarga.
Mazlan telah menerajui MSN dari 1993 hingga 2005 dikenang sebagai arkitek utama di sebalik kejayaan Program Jaya ‘98 dan Gemilang 2001 iaitu dua inisiatif yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.
Sepanjang 12 tahun perkhidmatannya, Mazlan memperkenalkan pelbagai dasar pembangunan sukan jangka panjang, termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula ISN bagi memperkasa sokongan sains sukan kepada atlet elit.
Mazlan pernah memegang jawatan penting dalam beberapa badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2001.
Allahyarham juga adalah penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan pada 2022. – Bernama
OR