Mazleen dedikasi gelaran juara Kilauan Emas 2025 buat bapa

Mazleen dedikasi gelaran juara Kilauan Emas 2025 buat bapa


SHAH ALAM:Penyanyi pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Mazleen Abu Bakar, 45, dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas 2025, menewaskan lima peserta lain dalam konsert akhir yang berlangsung meriah di sini, pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi, pakej umrah serta percutian empat hari ke Dubai, tajaan penuh pihak penganjur.

Mazleen turut menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah istimewa buat bapanya, Abu Bakar Ahmad, 77, yang menjadi pendorong utama sejak awal penglibatannya dalam dunia seni suara.

“Saya belum fikir lagi bagaimana mahu gunakan wang kemenangan ini.

“Sejujurnya, penyertaan saya hanyalah untuk memenuhi permintaan ayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertandingan.

Tambahnya, walaupun bapanya tidak dapat hadir menyaksikan persembahan akhir kerana faktor kesihatan, semangat dan restu insan tersayang itu tetap menjadi kekuatan buatnya.

“Ayah minta saya berseronok dan nyanyi sepenuh jiwa kerana dia tahu bakat saya sejak kecil lagi.

“Malam ini, saya sampaikan segalanya untuk dia,” ujarnya.

Menurut Mazleen, bapanya yang juga bekas pengurus kugiran di Johor merupakan individu yang banyak membentuk disiplin serta kecintaan beliau terhadap muzik sejak kecil.

“Lagu pertama saya nyanyikan ialah Kad Ucapamu nyanyian Noorshila Amin.

“Ayah yang pilih lagu itu dan sejak itu, dia sentiasa beri tunjuk ajar, walaupun saya nyanyi elok, dia tetap tegur. Dia pesan, masuk pertandingan ini kena jadi macam botol kosong, sentiasa bersedia terima ilmu,” tambahnya.

Di pentas akhir, Mazleen mempersembahkan lagu Bertamu Di Kalbu dalam segmen solo, sebelum berpadu suara bersama Arip menerusi lagu Naluri Cinta untuk segmen duet.

Naib juara dimenangi Zekrai yang membawa pulang RM10,000, trofi dan pakej percutian ke Bali, manakala tempat ketiga disandang Nawary yang menerima RM5,000, trofi serta pakej ke Danang, Vietnam.

Sementara itu, tiga lagi peserta Majid, Ezan dan Zanie masing-masing membawa pulang RM3,000 dan trofi sebagai saguhati di tempat keempat hingga keenam.

Majid turut menerima Anugerah Emas Berkilau of the Week atas persembahan bertenaganya.

Konsert akhir Kilauan Emas 2025 dikemudi hos popular Elly Mazlein dan Joey Daud, dengan persembahan istimewa daripada Tam Spider yang menghiburkan penonton menerusi lagu Relaku Pujuk dan Aladdin.

Barisan juri tetap terdiri daripada Roy Azman, Ning Baizura dan Erra Fazira, manakala Datuk Yusof Haslam turut dijemput sebagai juri undangan khas.
– UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top