June 14, 2024

MB Selangor arah laporan polis terhadap saya, dakwa Azmin


BATANG KALI – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Menteri Besar Selangor mengarahkan laporan polis terhadap beliau susulan pendedahannya mengenai penyelewengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor mendakwa laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Amirudin Shari itu bertujuan untuk menutup mulutnya.

“Untuk makluman orang Kuala Kubu Baharu saya telah dimaklumkan  Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS arah laporan polis dibuat terhadap saya kerana saya telah mendedahkan salah guna kuasa, penyelewengan dalam PKNS dalam perbahasan.

“Ini negara apa? Kalau saya tidak boleh berbahas, Sanusi (Meniteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ) disuruh tutup mulut ini, negara tidak demokratik,” katanya ketika berucap di Majlis Pengumuman Calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB di sini.

Bagaimanapun Azmin menegaskan, laporan polis yang dibuat terhadapnya tidak akan menghalangnya daripada membuat pendedahan seterusnya.

“Sekarang polis sedang mencari saya tunggu 11 Mei saya akan pastikan apa yang dilakukan kerajaan negeri, salah guna kuasa untuk tutup mulut PN membongkar tindakan mereka yang tidak selari undang-undang,” ujarnya.

Ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lalu, Azmin meminta Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan tindakan PKNS yang menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion, kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Azmin turut juga memetik laporan daripada kertas perniagaan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah, Tropicana Corporation Bhd, memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Namun Amirudin menepis dakwaan bahawa prestasi kewangan PKNS berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kedudukan kewangan PKNS ketika ini adalah baik, bahkan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, keputusan menjual hak pembangunan PJ Sentral dibuat untuk keluar daripada ‘perangkap aliran tunai’.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top