Mbappe calon utama menang Ballon d’Or

Mbappe calon utama menang Ballon d’Or


BINTANG sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe, merupakan calon pilihan bergelar pemenang Ballon d’Or 2025 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim ini.

Penyerang Perancis itu terus menyerlah sejak awal tahun ini dengan mencatatkan 31 gol dalam 44 perlawanan setakat ini.

Prestasi luar biasa Mbappe menjadi faktor utama yang akan menentukan kejayaan Los Blancos dalam perebutan kejuaraan La Liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara musim ini.

Mbappe juga berada di landasan tepat untuk memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam musim debut di Real Madrid yang kini dipegang Ivan Zamorano dengan 37 gol pada musim 1992/93.

Malah, dia juga berpotensi menyamai rekod peribadi tertingginya ketika bersama Paris Saint-Germain (PSG) dengan 44 gol.

Kapten Real Madrid, Luka Modric, yang pernah meraih Ballon d’Or pada tahun 2018, turut menyokong penuh peluang Mbappe untuk memenangi anugerah individu paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

“Dia adalah antara pemain terbaik dunia. Dia mempunyai keupayaan untuk melakukan perkara yang belum pernah dilihat sebelum ini.

“Apa yang paling mengagumkan saya mengenai Mbappe adalah keperibadiannya. Dia seorang yang rendah hati, suka bergurau dan sentiasa membantu rakan sepasukan.

“Dari luar, mungkin ada yang mengatakan dia tidak berada pada tahap terbaik musim ini, tetapi dia telah menjaringkan lebih 30 gol. Bayangkan jika itu bukan prestasi terbaiknya!

“Saya yakin dia bukan sahaja calon utama untuk Ballon d’Or tahun ini, tetapi juga berpotensi memenanginya beberapa kali pada masa akan datang,” kata Modric.

Sekiranya Mbappe berjaya merangkul Ballon d’Or 2025, ia akan menjadi kemenangan pertama buat Real Madrid sejak Karim Benzema memenanginya pada tahun 2022.



Source link

OR

Scroll to Top