Mbappe (tengah) menuduh bekas kelabnya, PSG melakukan ‘gangguan moral’ terhadapnya. Foto AFP
BINTANG sensasi Perancis dan Real Madrid, Kylian Mbappe menuduh bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) melakukan “gangguan moral” terhadapnya ketika pertikaian undang-undang antara kedua-dua pihak memasuki fasa baharu.
Mbappe, 26, sebelum ini telah menuntut bayaran tertunggak sebanyak £55 juta daripada PSG yang didakwa masih belum dibayar bagi tahun terakhirnya bersama kelab itu sebelum berhijrah secara percuma ke Sepanyol.
Namun, dalam perkembangan berasingan, Mbappe juga mendakwa pihak pengurusan PSG cuba memaksanya menandatangani kontrak baharu dan tidak membenarkan kontraknya tamat begitu sahaja.
Pertikaian yang semakin meruncing ini dijangka berpanjangan selepas Mbappe memfailkan aduan rasmi di mahkamah Perancis bulan lalu. Dua orang hakim penyiasat kini telah dilantik untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Menurut dakwaan Mbappe, insiden tersebut berlaku pada musim panas 2023, menjelang musim terakhirnya bersama PSG apabila beliau disingkirkan daripada skuad utama dan ditempatkan bersama kumpulan pemain yang tidak dikehendaki kelab.
Peguam Mbappe mendakwa tindakan mengasingkan penyerang itu merupakan usaha PSG untuk memaksanya menandatangani kontrak baharu, yang disifatkan sebagai satu bentuk tekanan psikologi.
Tuntutan undang-undang berkaitan tunggakan gaji juga dijangka dibicarakan di mahkamah.
Mbappe menegaskan PSG masih berhutang dengan beliau tiga bulan gaji terakhir serta beberapa bonus musim terakhir di Paris, sementara PSG pula menegaskan pemain itu telah bersetuju untuk melepaskan bayaran tersebut sebagai syarat perpindahannya.