September 8, 2024

Mbappe harap dapat jadi sehebat Ronaldo

Mbappe harap dapat jadi sehebat Ronaldo


KYLIAN Mbappe menyifatkan dia sudah ditakdirkan untuk menyertai Real Madrid dan berharap dapat mencontohi kejayaan idolanya, Cristiano Ronaldo selepas diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu Los Blancos pada Selasa.

Perpindahan pemain berusia 25 tahun itu ke kelab gergasi Sepanyol itu telah disahkan pada awal Jun dan dia kini secara rasmi menyertai kelab itu dengan kontrak selama lima tahun.

Mbappe diperkenalkan di hadapan 80,000 penyokong di Santiago Bernabeu memakai jersi putih ikonik Real dengan nama dan nombor 9 dicetak pada belakang jersinya.

“Saya sering bermimpi satu hari nanti dapat bermain untuk Real Madrid dan hari ini saya seorang individu yang gembira

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden kerana sentiasa mempercayai saya, terdapat banyak perkara yang berlaku tetapi kami telah melakukannya. Terima kasih banyak-banyak. Hala Madrid!,” katanya.

Selepas pengenalan rasminya itu, Mbappe dalam sidang akhbar menjelaskan sebab Ronaldo yang juga penjaring gol sepanjang zaman Real Madrid dan pemenang Ballon d’Or lima kali menjadi idolanya.

“Mengakhiri ucapan dengan ‘Un, dos, tres, Hala Madrid’ adalah satu pujian kepada Cristiano Ronaldo.

“Dia adalah rakan yang telah mencipta sejarah di kelab ini. Dia sentiasa memberi saya nasihat mengenai permainan dan terus konsisten dalam bola sepak. Saya mahu mencontohinya,” katanya.

Mbappe menyertai Real Madrid selepas membuktikan dirinya sebagai legenda PSG, menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka dengan 256 gol dalam 308 perlawanan dan memenangi 14 trofi, termasuk enam kejuaraan Ligue 1 dalam tempoh tujuh tahun.

Setelah memuktamadkan perpindahan impiannya ke Real Madrid, Mbappe telah mendedahkan dia mempunyai impian baharu dan matlamat baharu untuk mencontohi beberapa pemain hebat sepanjang zaman kelab itu pada tahun-tahun akan datang.

“Ia satu penghormatan dan keistimewaan yang besar untuk menjadi pemain Real Madrid.

“Saya memang menjangkakan hari yang hebat hari ini tetapi ia melebihi jangkaan saya, oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Real Madrid,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top