PENYERANG sensasi Perancis, Kylian Mbappe menegaskan pencapaian 400 gol dalam kariernya bukan sesuatu yang dianggap menakjubkan pada masa ini.
Sebaliknya dia mengakui memasang impian untuk menyaingi rekod luar biasa Cristiano Ronaldo yang sedang memburu 1,000 gol.
Mbappe meledak gol ke-399 dan 400 bersama kelab dan negara ketika membantu Perancis menundukkan Ukraine 4-0 di Parc des Princes pada Jumaat sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026.
Beliau sebelum ini menjaringkan gol ke-100 karier antarabangsa ketika menentang Andorra pada Jun 2019, manakala gol ke-300 hadir ketika aksi bertemu Gibraltar pada November 2023.
Dengan 55 gol bersama Perancis, Mbappe kini hanya dua jaringan di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu, Olivier Giroud yang merekodkan 57 gol.
Di peringkat kelab, Mbappe telah mengumpul 345 gol iaitu 27 gol bersama Monaco, 256 gol ketika bersama Paris Saint-Germain dan 62 gol setakat ini bersama Real Madrid.
“Sekarang 400… ia tidak lagi mengagumkan sesiapa. Jika mahu berada dalam kelompok yang benar-benar mengejutkan, saya perlu tambah lagi 400 gol.
“Cristiano Ronaldo dengan 1,000 gol? Ia memang luar biasa. Tetapi saya juga kena cuba perkara luar biasa. Saya hanya ada satu karier,” katanya.
Dalam pada itu, Mbappe setakat ini merekodkan lima gol dan tiga bantuan gol dalam kempen kelayakan, dan bertekad tampil dengan prestasi terbaik di Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
“Saya perlu menjadi versi terbaik diri saya untuk membawa pasukan ke Piala Dunia. Musim lalu sukar untuk saya bersama skuad kebangsaan, jadi musim ini saya mahu buktikan betapa pentingnya pasukan ini kepada saya.
“Beraksi di Piala Dunia merupakan pengalaman luar biasa. Ia satu penghormatan untuk mewakili negara di pentas dunia. Kami ke sana untuk menang, seperti 47 pasukan lain. Impian kami adalah menambah bintang ketiga pada jersi Perancis.”
“Kami perlu menggunakan pengalaman final 2022 sebagai panduan untuk tampil lebih yakin. Kini kami tunggu undian dan fokus pada perlawanan peringkat kumpulan,” katanya.






