Bryan Mbeumo pasti menjadi tumpuan apabila Manchester United bertandang ke Stadium Gtech Community untuk berdepan Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.
Bintang Cameroon itu menyertai United dari Brentford pada Julai lalu dengan harga 65 juta pound (RM367.82 juta) dan rakan seposisinya sebelum ini, Yoane Wissa turut berpindah ke Newcastle United.
Setakat ini, Mbeumo sudah menjaringkan satu gol di EPL ketika United menewaskan Burnley, 3-2, 30 Ogos lalu.
Secara keseluruhan, Mbeumo menjaringkan 70 gol daripada 242 penampilan sepanjang enam tahun di Brentford, selain berpisah dengan cara baik apabila memuat naik video ucapan terima kasih dan perpisahan kepada penyokong di barat London itu.
Selepas lima perlawanan EPL setakat ini, United menduduki tangga ke-11 liga manakala Brentford berada di tangga ke-17 iaitu di atas zon penyingkiran.
Jika Mbeumo menjaringkan gol untuk United malam ini, sambutan pasti tidak sehebat ketika jaringannya di stadium sama, sebelum ini.
Tugas United tetap tidak mudah kerana berdasarkan rekod, Brentford menang dua daripada tiga perlawanan terakhir apabila melayan kunjungan United, sekali pun mereka kini dibimbing Keith Andrews yang menggantikan Thomas Frank yang berpindah ke Tottenham Hotspur.
Namun selepas melepasi perlawanan besar dengan Arsenal (kalah 0-1), Manchester City (kalah 0-3) dan menang ke atas Chelsea 2-1 pada aksi hujung minggu lalu, ini adalah peluang terbaik United meneruskan rentetan kemenangan.
Sejak musim lalu, amat jarang United mencatat dua kemenangan berturut-turut di EPL dan ia perlu direalisasikan bermula malam ini, sebelum berdepan Sunderland pada perlawanan berikutnya, 4 Oktober depan.
Pada masa sama, diharapkan Ruben Amorim terus memberi kepercayaan kepada Benjamin Sesko berada di dalam kesebelasan utama, sekali gus menjaringkan gol sulung sebagai pencetus semangat aksinya di England.
Setakat ini, penyerang sensasi Slovenia itu belum menemui sentuhan penyudah selain kurang mendapat umpanan daripada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol.
Keyakinan Sesko perlu dilonjakkan segera dalam usaha membantunya menemui prestasi terbaik, sekali gus menjadi mesin gol buat United.
© New Straits Times Press (M) Bhd