PEMAIN sayap Cameroon, Bryan Mbeumo meluahkan rasa teruja untuk bergandingan bersama kapten Manchester United, Bruno Fernandes ketika beliau bersiap memulakan kehidupan baharu di Old Trafford selepas berhijrah dari Brentford.
Mbeumo, yang meledak 20 gol serta mencipta tujuh bantuan jaringan untuk Brentford dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu, telah menandatangani kontrak lima tahun bersama United dan menjadi pemain ketiga yang dibawa masuk dalam jendela perpindahan musim panas ini.
Bercakap dalam podcast Rio Ferdinand Presents, Mbeumo berkata Fernandes adalah pemain yang paling dinanti-nantikannya untuk digandingkan bersama.
“Semua orang tahu dalam beberapa tahun ini, dia boleh membuat rembatan, hantaran lintang dan dia boleh buat hantaran gila.
“Bagi seorang penyerang, anda memang akan menikmatinya,” katanya.
Mbeumo berharap dapat memanfaatkan pengalaman pemain tengah Portugal itu yang sebelum ini mendedahkan menolak tawaran lumayan dari Arab Saudi demi kekal di United walaupun kelab itu bergelut musim lalu.
“Di atas padang, bila anda bijak seperti dia, saya rasa anda tak perlu fikir banyak.
“Anda hanya perlu buat larian dan dia akan hantarkan bola ke ruang yang betul setiap kali.
“Tapi sudah tentu, anda boleh berbincang sedikit dengannya supaya dia tahu bagaimana saya lebih suka menerima bola dan posisi yang paling sesuai untuk saya.
“Tapi pada satu tahap, walaupun bukan cara yang anda suka, anda tetap kena buat larian itu dan dia akan hantar bola ke posisi terbaik,” katanya.
Ketibaan Mbeumo menyusul selepas United mendapatkan penyerang Wolves, Matheus Cunha, serta pertahanan kiri Paraguay, Diego Leon dari Cerro Porteno.
Ketika ini, United sedang berada dalam siri jelajah pra-musim di Amerika Syarikat sebagai persiapan menghadapi aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada 17 Ogos.