PERSEKUTUAN Biliard Snuker Malaysia (MBSF) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara biliard dan snuker pada Sukan SEA Thailand 2025 Disember depan.
Setiausahanya, Iskandar Perwira Putra berkata, sasaran tetap diletakkan meskipun hanya dua kategori dipertandingkan oleh tuan rumah iaitu snuker dan biliard.
“Sasaran kita sudah jelas, sekurang-kurangnya satu emas. Kalau dapat lebih, ia bonus untuk negara.
“Kita tahu tuan rumah cenderung menguasai acara snuker, tetapi pemain kita sudah masak dengan lawan seperti Passakorn Suwanawa. Kita pernah menewaskan mereka sebelum ini, jadi keyakinan tetap tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, isu status penyertaan turut mencuri perhatian apabila pemain utama negara, Moh Keen Ho, yang merupakan juara emas Sukan SEA 2023 di Kemboja, pada awalnya diletakkan dalam Kategori B, sekali gus mencetuskan rayuan oleh MSBF.
“Beliau adalah penyandang juara, tidak wajar diletakkan dalam kategori lebih rendah. Alhamdulillah, selepas penjelasan kepada jawatankuasa (Sukan SEA), rayuan diterima dan status beliau diperbetulkan,” jelasnya.
Bagi kem skuad wanita, dua pemain negara akan turun dalam Kategori B, bukan sekadar untuk pendedahan, sebaliknya sebagai langkah strategik menghadapi Sukan SEA 2027 di Malaysia.
“Kita bukan mahu sekadar menghantar untuk ‘exposure’. Mereka perlu pengalaman pertandingan sebenar. Kalau ada rezeki pingat, ia bonus. Kalau tidak, mereka tetap mendapat pendedahan berharga,” katanya.
Dalam pada itu, Iskandar turut meluahkan kebimbangan terhadap keputusan tuan rumah yang hanya mempertandingkan dua acara, sekali gus mengetepikan disiplin lain seperti pool dan caroom.
“Negara seperti Vietnam, Laos, Filipina dan Indonesia juga tidak puas hati kerana tidak semua negara main snuker.
“Kalau keadaan ini berulang, ia tidak adil dan boleh menjejaskan masa depan sukan ini di rantau Asia Tenggara,” tegasnya.