May 20, 2024

MCA kekal komitmen main peranan semak dan imbang – Ka Siong


PUTRAJAYA – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan selain mendukung apa sahaja keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Perkara itu merupakan antara intipati perbincangan antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam hari ini.

“Saya telah berkongsi beberapa isu rakyat. Dalam masa sama, saya turut menyampaikan beberapa pandangan daripada MCA berhubung isu-isu semasa khususnya berkaitan ekonomi, pendidikan, hubungan kaum, kos sara hidup, PADU dan dasar-dasar yang memerlukan perhatian serius oleh kerajaan.

“Terima kasih YAB PMX kerana sentiasa mendengar pandangan yang disampaikan demi kebaikan rakyat dan negara.

“Saya dan parti MCA akan terus menjalankan tanggungjawab dan memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan. MCA mendukung apa jua  keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam laman sosial Facebook sebentar tadi.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, beliau juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan beberapa isu penting berkaitan kawasannya.

“Antaranya pembangunan infrastruktur demi membolehkan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dinaiktaraf kepada sebuah Majlis Perbandaran, projek pembinaan pasar awam Yong Peng dan pembangunan Yong Peng High School,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top