Glasgow: Juara Olimpik acara kekuda berpelana, Rhys McClenaghan, menganggap Sukan Komanwel sekadar ‘hari latihan’ selepas gagal meraih sebarang pingat dalam aksi final yang berlangsung hari ini.
Gimnas dari Ireland Utara itu, yang memenangi emas Olimpik Paris 2024, sekadar menamatkan saingan di tempat keenam selepas percubaan menggunakan teknik permulaan baharu dalam rutinnya tidak menjadi.
Keputusan itu menyaksikan McClenaghan, 27, gagal menaiki podium buat kali pertama di Sukan Komanwel selepas memenangi emas di Gold Coast 2018 dan perak di Birmingham 2022.
Bagaimanapun, dia tidak terlalu kecewa kerana kini mengalihkan tumpuan kepada Kejohanan Eropah dan Kejohanan Dunia.
“Ini hanyalah hari latihan buat saya. Kami akan kembali ke gimnasium secepat mungkin dan menghadapinya seperti mana-mana sesi latihan lain.
“Walaupun saya menang emas di sini sekali pun, ia tetap dianggap sebagai satu langkah persediaan. Sasaran utama kami ialah Kejohanan Eropah,” katanya.
McClenaghan turut muncul juara dunia dalam acara itu pada edisi 2022 dan 2023.
Sementara itu, Jordan Carroll menghadiahkan emas buat Kanada dalam acara kekuda berpelana, manakala tuan rumah Scotland turut bergembira apabila juara keseluruhan, Reuben Ward, memenangi perak dan Cameron Lynn membawa pulang gangsa.
“Scotland kini semakin digeruni dalam sukan gimnastik dan kami mula membuktikannya. Saya memulakannya tempoh hari dan kini momentum itu semakin meningkat,” kata Ward.
Dalam acara senaman lantai lelaki, Luke Whitehouse menebus kekecewaan selepas aksi hambar dalam pertandingan keseluruhan apabila muncul pemenang pingat emas.
Atlet England berusia 24 tahun itu mengakui fikirannya sedikit terganggu selepas rakan sepasukannya, Gabriel Langton, terjatuh daripada palang tinggi ketika final berpasukan pada Jumaat lalu sehingga terpaksa bermalam di hospital.
“Banyak perkara berlaku sejak beberapa hari lalu. Saya hanya cuba mengabaikan segala gangguan dan memberi fokus kepada rutin saya. Gabriel ialah rakan sebilik saya dan saya bersyukur dia kini berada dalam keadaan baik,” katanya.
Dalam acara wanita, sensasi Kanada berusia 16 tahun, Lia-Monica Fontaine, memenangi emas acara melombol, sekali gus menambah koleksi selepas meraih gangsa dalam saingan keseluruhan.
Abigail Martin dari England memenangi perak, manakala Abigail Roper dari Wales membawa pulang gangsa.
Kembar Abigail, Emily, turut menghadiahkan gangsa buat Wales dalam acara palang bertingkat, di belakang Kate McDonald dari Australia yang meraih emas dan Ellie Black dari Kanada yang memenangi perak.
Sementara itu, Felix Dolci menambah koleksi pingatnya kepada tiga, termasuk emas kedua di Glasgow apabila menjuarai acara gelang, mengatasi rakan senegara William Emard dan James Hardy dari Australia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






