am@hmetro.com.my
Kuantan: Bersempena kehadiran Ramadan, McDonald’s Malaysia bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) membuka tirai Program Kongsi Rezeki Ramadan dengan aktiviti gotong-royong dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Ahad lalu.
Pada program berkenaan, 50 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian telah disumbangkan kepada golongan memerlukan terdiri penduduk Kampung Peramu dan beberapa kampung berhampiran.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Restoran McDonald’s Malaysia, Zaid Hasman berkata, program Kongsi Rezeki Ramadan diadakan bagi mengimarahkan ibadah puasa dengan mengadakan aktiviti kemasyarakatan di surau dan masjid di negara ini.
Menurutnya, sebagai syarikat milik orang Islam, Ramadan menjadi detik amat dinantikan kerana memberi peluang pihaknya menzahirkan penghargaan pada masyarakat yang selama ini menyokong kuat McDonald’s Malaysia.
Katanya, selepas 11 tahun menganjurkan inisiatif setiap kali Ramadan, pihaknya berhasrat menggandakan lagi aktiviti yang dapat mengeratkan silaturahim selain mengimarahkan majlis ilmu.
“Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam McDonald’s Malaysia akan berkunjung ke 400 masjid dan surau sepanjang Ramadan kali ini dengan mengadakan aktiviti kemasyarakatan melalui lebih 370 rangkaian restoran kami seluruh negara.
“Kami telah memilih 4 lokasi utama untuk mengimarahkan majlis ilmu, termasuk di sini dengan menjemput Timbalan Mufti Pahang Datuk Badli Shah Alauddin, manakala bagi gotong-royong pula, hampir 50 masjid dan surau akan kami bersihkan sebelum memasuki Ramadan tahun ini” katanya.
Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit; Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia Azhar Darbi dan Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Baharuddin Sulong.
Pada program kali ini McDonald’s Malaysia bermurah hati menyampaikan sumbangan dana masjid RM10,000 kepada Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu untuk menaik taraf masjid berkenaan termasuk perbelanjaan Ramadan.
Program McDonald’s Malaysia bersama TKHM kali ini mendapat kerjasama Alam Flora Sdn Bhd, Indah Water Konsortium dan Pusat Zakat Pahang serta ahli kariah dan penduduk Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu.
Zaid menambah, pihaknya mengadakan Program Kongsi Rezeki Ramadan tahun ini lebih menyeluruh bermula dengan persiapan menyambut Ramadan seterusnya penganjuran empat program berkenaan bermula di Kuantan seterusnya di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kemeriahan ini akan turut disusuli dengan satu lagi lokasi yang bakal dimeriahkan McDonald’s Malaysia iaitu Pesta Pelita Panjut di Kuala Kangsar pada 25 Mac 2025, bagi meraikan dan menyerlahkan tradisi unik masyarakat setempat dalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Sebagai tanda sokongan, 22 restoran McDonald’s Malaysia terpilih akan dihiasi dengan lampu gilap-gemilap sempena pesta tersebut.
“Pada Ramadan nanti, kami akan meneruskan sumbangan moreh kepada jemaah selepas terawih serta menaja aktiviti memasak bubur lambuk untuk diedarkan kepada penduduk setempat.
“Kotak Rezeki akan turut diperluaskan kepada komuniti yang memerlukan untuk meringankan beban mereka dalam menjalani bulan Ramadan ini,” katanya yang berharap sambutan pada program akan datang lebih meriah lagi.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berkata, pihaknya berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana memilih Harian Metro sebagai rakan strategik sejak sekian lama.
Ini bukan kali pertama kita dengan McDonald’s Malaysia menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat, seperti tahun sebelumnya pelbagai program yang sudah dibuat secara bersama.
“Kerjasama ini juga bukti kita memberi fokus kepada golongan kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban kehidupan dilalui golongan asnaf dan B40.
“Kita berharap program yang diadakan hari ini dapat terus diadakan pada masa akan, Harian Metro dan McDonald’s Malaysia tidak dapat dipisahkan. Kita ingin terus berusaha mendekati masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, program TKHM dijalankan bertepatan dan penerima sumbangan Kotak Rezeki juga tepat.
“Hari ini McDonald’s Malaysia sudah mula diterima dan masyarakat semakin sedar terhadap produk berkenaan.
“Program TKHM dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 500 penduduk setempat yang menyertai setiap aktiviti diadakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd