Kajang: Seramai 200 pelajar Universiti Islam Selangor (UIS) yang memerlukan, berpeluang menebus Nasi Mekdi setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang Ramadan ini.
Inisiatif McDonald’s Malaysia itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Program Santun Pelajar yang dilancarkan pada 13 Februari lalu.
Menerusi fasa pertama program itu, 50,000 hidangan Nasi Mekdi telah diperuntukkan kepada pelajar terpilih di 20 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia dengan sasaran keseluruhan satu juta hidangan menjelang akhir 2026 apabila diperluaskan kepada lebih banyak IPT.
Pengarah Kanan Penjenamaan McDonald’s Malaysia, Azman Mohammad menyerahkan Kotak Rezeki kepada pelajar sambil diperhati Husain (kiri) dan Dr Abdul Razif. – FOTO MCD
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, berkata tujuan utama program itu adalah untuk menyantuni dan menyokong pelajar IPT yang berhadapan cabaran kos sara hidup yang meningkat.
Katanya, UIS adalah antara 20 IPT yang terbabit dengan fasa pertama program itu dan sempena Ramadan syarikat berkenaan turut mengambil peluang menyantuni pelajar UIS.
“Kami menyantuni pelajar dari petang hingga malam dengan agihan bubur lambuk, iftar bersama, solat berjemaah dan menjamu pelajar dengan moreh Nasi Mekdi,” katanya.
Pada majlis yang diadakan baru-baru ini, McDonald’s Malaysia turut bekerjasama dengan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang turut membantu menyerahkan 100 Kotak Rezeki kepada para pelajar yang memerlukan.
Mengenai kerjasama dengan TKHM, Azhar berkata, TKHM adalah pilihan rakan kerjasama tepat kerana mereka berkongsi nilai dan aspirasi sama iaitu keprihatinan untuk membantu komuniti sekeliling yang memerlukan.
“Kami berterima kasih kepada TKHM atas sokongan padu mereka yang membolehkan kami membantu lebih ramai pelajar dan lebih banyak IPT di seluruh negara ,” katanya.
Dr Mohd Farid Ravi bersama pelajar Program Santun Pelajar McDonald’s Malaysia bersama Titipan Kasih Harian Metro. -FOTO MCD
Sementara itu, Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan TKHM kerana memberi peluang mahasiswa UIS terbabit program berkenaan.
Program beri impak positif
Katanya, program sedemikian sudah pasti dapat memberi impak positif kepada pelajar kurang berkemampuan di universiti berkenaan.
“Program ini hadir pada masa yang tepat kerana bukan semua pelajar di sini datang daripada keluarga senang.
“Jadi dengan memberi bantuan makanan dan menyantuni mereka seperti ini sudah pasti dapat memberi keceriaan kepada mereka,” katanya.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, berkata, ini adalah satu lagi program kerjasama antara TKHM dengan McDonald’s Malaysia. Katanya, selain menyantuni dan meraikan pelajar UIS, mereka juga menyerahkan Kotak Rezeki kepada pelajar layak.
“Program ini jelas memberi kegembiraan kepada pelajar yang memerlukan kerana selain mendapat Kotak Rezeki mereka juga berpeluang mendapat Nasi Mekdi,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Hal Ehwal Pelajar (HEP) UIS yang banyak memberikan kerjasama dalam menjayakan program sedemikian.
Pelajar menikmati Nasi Mekdi pada program santun pelajar McDonald’s Malaysia bersama Titipan Kasih Harian Metro. – FOTO MCD
Sementara itu, Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Syariah dengan Muamalat, Mohd Aiman Hakim Alias, 23, berkata bantuan yang diberikan amat bermakna kepada pelajar sepertinya.
“Bantuan ini bukan sekadar memberi kami makan, tetapi membantu kebajikan pelajar sekali gus dapat meningkatkan semangat kami untuk belajar terutama dalam bulan Ramadan ini,” kata Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berasal dari Klang.
Sharmilah Sadzlin Nurasad, 24, dari Semporna, Sabah, berkata bantuan berkenaan sudah pasti dapat membantu meringankan beban.
“Kos makanan sekarang ini sangat mahal namun dengan bantuan ini ia sudah pasti membantu menjimatkan kos makan setiap hari terutama di bulan Ramadan,” kata mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dengan Multimedia itu.
Bagi pelajar Asasi Pengurusan Perniagaan, Ainnur Khayra Mohd Nazri, 19, ini kali pertama dia mendapat bantuan makanan sedemikian.
“Terima kasih McDonald’s kerana menyediakan program seperti ini kerana ia memang sangat membantu pelajar,” kata pelajar semester tiga itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






