McDonald's umum pelan pelaburan RM1 bilion, sasar 100 restoran baharu

McDonald's umum pelan pelaburan RM1 bilion, sasar 100 restoran baharu


KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia mengumumkan pelan pelaburan bernilai RM1 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memperkukuh pengembangan perniagaan dan pembangunan tenaga kerja tempatan.

Pelaburan strategik itu bakal memacu pembukaan restoran baharu, pemodenan rangkaian sedia ada serta peluasan inisiatif pembangunan bakat tempatan.

Langkah itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Pengumuman pelan pelaburan itu dibuat bersempena pembukaan semula McDonald’s Titiwangsa di Jalan Pahang, restoran pandu lalu pertama McDonald’s di Malaysia.

Restoran berkenaan kini beroperasi dengan identiti baharu sebagai restoran konsep Luna pertama di negara ini dan yang kedua di Asia.

McDonald’s Malaysia turut mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025 meskipun berdepan persekitaran perniagaan mencabar.

Prestasi itu didorong permintaan pelanggan yang konsisten, tawaran nilai kompetitif serta inovasi berterusan dalam menu dan operasi.

Ketika ini, syarikat mengendalikan lebih 370 restoran di seluruh negara.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, McDonald’s Malaysia merancang membuka 100 restoran baharu bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

Pengembangan itu dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.

Syarikat mengekalkan dasar pengambilan pekerja 100 peratus tempatan dan kini mempunyai lebih 16,000 kakitangan di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata pertumbuhan syarikat dibina melalui pelaburan strategik dalam restoran, kakitangan dan komuniti.

Beliau berkata, pihaknya komited menyediakan peluang kerjaya stabil dan laluan pembangunan jangka panjang untuk rakyat Malaysia.

“Pertumbuhan kami dibina melalui disiplin, dedikasi dan fokus yang jelas terhadap pelaburan dalam perkara yang paling penting iaitu restoran, kakitangan dan komuniti sekeliling.

“Apabila kami terus berkembang, kami komited mewujudkan pekerjaan stabil dan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Katanya, sebagai majikan pertama kepada ramai belia, syarikat turut memberi penekanan terhadap latihan, bimbingan dan pembangunan kemahiran.

Antara komponen utama pelaburan itu ialah pengembangan Akademi Vokasional McDonald’s yang dibangunkan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Program berkenaan menggabungkan latihan praktikal dan pembelajaran berstruktur, membolehkan peserta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Sejak 2018, lebih 5,000 belia dilatih menerusi program itu, dengan lebih 80 peratus memilih untuk meneruskan kerjaya di McDonald’s Malaysia.

Pasang panel solar

Dalam aspek teknologi dan kelestarian, syarikat melaksanakan penambahbaikan sistem digital serta memasang panel solar di lebih 100 restoran, dengan perancangan memperluaskannya menjelang akhir 2026.

Selain pengembangan perniagaan, McDonald’s Malaysia turut menganjurkan lebih 10,000 aktiviti komuniti setiap tahun, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai syarikat yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan negara.

“Sebagai syarikat yang komited menyajikan makanan dan memupuk komuniti, usaha memberi kembali adalah sebahagian daripada nilai dalaman dan semula jadi kami.

“Kami adalah sebuah syarikat Malaysia, oleh itu adalah suatu yang penting untuk memastikan bahawa kejayaan kami memberikan impak bermakna kepada komuniti,” katanya.

Mengulas mengenai pembukaan semula restoran McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa di Jalan Pahang, Azmir berkata, ia menandakan projek pengubahsuaian restoran pertama bagi tahun ini dan mencerminkan fokus berterusan syarikat untuk memastikan restoran kejiranan kekal selesa selain mudah diakses.

“Restoran yang dikenali ramai ini dinaik taraf untuk meningkatkan fungsinya sebagai hab sosial kontemporari sambil mengekalkan suasana mesra yang digemari pelanggan tetap sepanjang 38 tahun lalu.

“Restoran ini dinaik taraf bagi memenuhi keperluan komuniti sekeliling termasuk ruang makan yang diperluas dengan 180 tempat duduk serta kawasan tinjau di tingkat satu menawarkan tempat lebih selesa untuk keluarga, kumpulan dan pelanggan tetap meluangkan masa bersama.

“Lorong pandu-lalu juga ditambah baik bagi membantu melancarkan aliran trafik dan menyokong perkhidmatan lebih pantas pada waktu puncak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top