Oakmont, Amerika Syarikat: Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy akhirnya bersuara selepas enam pusingan berturut-turut di kejohanan utama tanpa memberi sebarang kenyataan, apabila tampil bercakap kepada media selepas mencatat empat atas par 74 pada pusingan ketiga Terbuka AS di Oakmont, semalam.
Catatan itu meletakkan McIlroy pada jumlah keseluruhan 10 atas par 220.
“Bukan luar biasa pun. Saya pernah buat sebelum ini. Cuma saya buat lebih kerap sekarang.
“Saya rasa saya sudah punyai hak untuk buat apa sahaja yang saya mahu, ya,” kata McIlroy ketika ditanya mengenai keputusannya mengelak daripada bercakap kepada media.
McIlroy turut mengakui salah satu sebab dia bermain lebih baik pada penghujung pusingan Jumaat lalu ketika sedang bergelut untuk melepasi had kelayakan adalah kerana dia tidak terlalu kisah sama ada layak ke pada hujung minggu atau tidak di Oakmont yang mencabar.
“Lebih mudah untuk berada di garisan ‘cut’ apabila anda tidak terlalu peduli sama ada nak bermain lagi dua hari atau tidak,
“Saya fikirkan, ‘adakah saya betul-betul mahu dua hari lagi di sini?’ Jadi, bila dalam mentaliti itu, ia sebenarnya buatkan anda bermain lebih baik,” katanya jujur.
McIlroy mengakui dirinya masih belum pulih sepenuhnya dari segi mental selepas kejayaan bersejarah memenangi Masters pada April lalu sekali gus melengkapkan karier Grand Slam satu matlamat besar yang lama diburunya.
“Saya rasa sedikit tawar hati di padang golf selepas itu.
“Anda tak tahu macam mana ia akan beri kesan kepada anda. Anda tak tahu bagaimana anda akan bertindak balas,” katanya.
Pemain Ireland Utara itu tidak memberi sebarang kenyataan selepas mana-mana pusingan kejohanan utama sejak sesi penuh emosi di Augusta National, susulan kemenangan Masters itu.
Antara faktor yang membuatkannya mengelak media, katanya, termasuk isu kebocoran berita bahawa pemukul ‘driver’ miliknya gagal dalam ujian peraturan sebelum Kejohanan PGA bulan lalu di Quail Hollow.
© New Straits Times Press (M) Bhd