Dari kiri: Verstappen, Norris dan Russell (kanan) selepas perlumbaan GP Australia 2025 di Litar Albert Park, Melbourne.
KEMENANGAN sensasi Lando Norris di Grand Prix (GP) Australia 2025 bukan sekadar tuah, malah membuktikan McLaren MCL39 sebagai jentera paling pantas dalam Formula 1 (F1) musim ini.
Norris menegaskan kejayaannya bukan semata-mata kerana kehebatan jentera, tetapi juga hasil persaingan sengit dalam perlumbaan.
Selepas sesi ujian di Bahrain, McLaren dilabel sebagai pasukan pilihan untuk merebut gelaran berdasarkan prestasi cemerlang MCL39.
Kelajuan luar biasa jentera itu terserlah dalam sesi kelayakan apabila Norris meraih petak utama di hadapan rakan sepasukan, Oscar Piastri, serta meninggalkan pencabar utama, Max Verstappen (Red Bull), di belakang.
Dalam perlumbaan di Litar Albert Park, Melbourne, Norris berjaya menahan tekanan hebat daripada Verstappen dan memulakan musim dengan kemenangan bergaya.
Bagaimanapun, beliau kurang senang dengan tumpuan media yang terlalu berlebihan terhadap kehebatan MCL39.
“Saya tidak faham mengapa orang asyik bercakap mengenai jentera ini, terlalu banyak soalan daripada media mengenainya,” kata Norris.
Pemandu dari Britain itu turut merendah diri mengenai kelebihan McLaren berbanding pasukan lain.
“Saya dan Oscar memandu dengan baik. Saya tidak kata orang lain kurang bagus, tetapi mereka sepatutnya tidak ketinggalan sejauh itu. Itu jelas,” katanya.
Mengulas kemenangan di Australia, Norris berkata: “Kami memang memiliki jentera terbaik dengan sedikit kelebihan. Saya tidak nafikan. Namun, bukan semuanya bergantung kepada jentera. Kemenangan ini hasil keputusan yang tepat sebagai satu pasukan. Tahun lalu, dalam perlumbaan yang sama, kami tidak menang kerana kesilapan strategi. Hari ini, kami berjaya.”
Beliau turut memuji usaha keras kakitangan pasukan sepanjang persiapan rapi pra-musim bagi menghadapi perlumbaan di GP Australia.
“Kami masih ada tugas yang perlu diselesaikan untuk perlumbaan seterusnya. Tetapi saya yakin kami boleh memberikan saingan di China minggu depan kerana tahun lalu kami cemerlang di sana meskipun dengan jentera yang tidak begitu sempurna,” tambahnya.