nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
MCMC dalam kenyataan, hari ini memaklumkan kandungan itu dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
“Kandungan itu dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
“Bagi membantu siasatan, individu terbabit dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 9 Ogos lalu,” katanya.
Menurutnya, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM disita untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Menurutnya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“MCMC mengingatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd