MDEC pacu pendigitalan perniagaan menerusi e-invois berdasarkan kerangka Peppol

MDEC pacu pendigitalan perniagaan menerusi e-invois berdasarkan kerangka Peppol


Kuala Lumpur: Perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini tidak lagi perlu bergantung kepada invois berasaskan kertas dan format PDF, sebaliknya beralih kepada sistem pertukaran data yang automatik, cekap dan saling kendali menggunakan e-invois berdasarkan kerangka Peppol.

E-invois saling kendali adalah trend global dengan Peppol menjadi kerangka e-invois paling meluas digunakan di dunia.

Pada masa ini, kerangka Peppol digunapakai di lebih daripada 70 negara di seluruh dunia termasuk Singapura, Australia, New Zealand, Jepun, UAE, Denmark, Belgium, Norway, Sweden, Poland, Perancis, Itali, Belanda, Jerman, dan Finland.

Peppol bukan satu platfom atau sistem, sebaliknya ia adalah satu set spesifikasi teknikal yang menyeragamkan kae­dah penstrukturan dan pertukaran maklumat, membolehkan penghantaran in­­vois elektronik antara pelbagai perisian perakaunan atau sistem perancangan sumber perusahaan (ERP).

Di Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diamanahkan melaksanakan e-invois bagi pendigitalan perniagaan menggunakan kerangka Peppol.

Sebagai Pihak Berkuasa Peppol bagi Malaysia, MDEC bertanggungjawab menyesuaikan kerangka Peppol agar mengikut keperluan tempatan, mengawal selia pelaksanaan kerangka Peppol di Malaysia dan mewujudkan infrastruktur saling kendali seperti Service Metadata Publisher (SMP).

MDEC juga mengakreditasi penyedia perkhidmatan Peppol (SP) dan penyedia penyelesaian sedia Peppol (PRSP) di Malaysia bagi memastikan penyelesaian e-invois yang ditawarkan memenuhi piawaian tempatan dan teknikal yang diperlukan serta membina ekosistem yang dipercayai untuk perniagaan.

Melalui kerangka Peppol, pelbagai jenis perisian perakaunan dan sistem ERP dapat ‘berkomunikasi’ antara satu sama lain secara automatik tanpa perlu kerja manual.

Apabila syarikat menghantar e-invois, invois berkenaan disalurkan terus dan selamat kepada penerima melalui rangkaian Peppol.

Sebaik saja e-invois diterima, maklumat invois akan terus muncul dalam sistem perakaunan penerima dan sedia untuk disemak serta diluluskan bagi tujuan pembayaran, menghapuskan keperluan untuk menaip semula data atau mengendalikan invois kertas seperti sebelum ini.

Pelaksanaan e-invois menggunakan kerangka Peppol berupaya meningkatkan produktiviti dan efisiensi perniagaan, mengurangkan ralat serta kos operasi, mengoptimumkan proses perniagaan, mempercepatkan pembayaran dan mengurangkan risiko pertikaian.

Inisiatif itu juga mewujudkan kerangka saling kendali e-invois bagi penyedia perkhidmatan tempatan dan menggalakkan penggunaannya dalam aktiviti perniagaan di Malaysia.

Ia juga menyokong pelaksanaan e-invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), sekali gus melengkapkan ekosistem e-invois di Malaysia.

Pelbagai manfaat

Dalam konteks terkini, pengumuman kenaikan ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai 2026 memberi lebih fleksibiliti kepada perniagaan kecil.

Walaubagaimanapun, PMKS masih digalakkan untuk mendigitalkan perniagaan mereka melalui e-invois saling kendali.

Tambahan pula, bagi kekal kompetitif dalam ekonomi global yang kian digital, penerimaan awal e-invois saling kendali adalah langkah strategik untuk mempersiapkan perniagaan dalam mendepani realiti dan perubahan lanskap perniagaan masa hadapan ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI menjelang 2030 serta membolehkan perniagaan di Malaysia untuk melakukan transaksi rentas sempadan dengan lebih efisien.

Antara manfaat utama adalah mengurangkan kos pematuhan cukai, memudahkan urusan penyimpanan rekod, memudahkan pertukaran data rentas sempadan menerusi transaksi perniagaan serta menamatkan kemasukan data secara manual.

Di samping itu, penggunaan e-invois berdasarkan kerangka Peppol juga menyokong perniagaan memenuhi komitmen amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan pengurangan penggunaan kertas kerana semua data e-invois sudah dimuat naik ke dalam sistem pembeli daripada sistem penjual.

Kementerian Digital telah mengumumkan penyelesaian e-invois freemium dan mampu milik berdasarkan kerangka Peppol yang disediakan oleh lebih 30 penyedia perkhidmatan bertauliah MDEC.

Justeru, penyelesaian e-invois freemium dan mampu milik diperkenalkan untuk menyokong pendigitalan perniagaan dan memudahkan proses pematuhan percukaian.

Penyelesaian freemium ditawarkan secara percuma dengan had tertentu dari segi jumlah transaksi, tempoh penggunaan dan fungsi perisian.

Sementara penyelesaian mampu milik pula ditawarkan dengan harga pakej bermula serendah RM20 sebulan.

Senarai penyelesaian e-invois freemium dan mampu milik yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan bertauliah MDEC boleh didapati di https://mdec.my/national-einvoicing/freemium-and-affordable-solutions.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top