Skuad Bunga Raya 7s wanita negara meletakkan sasaran realistik di Thailand 2025. FOTO: KESATUAN RAGBI MALAYSIA
SUKAN SEA 2025 di Thailand Disember ini bakal menjadi medan sebenar buat skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara, Bunga Raya bagi menilai sejauh mana keberkesanan program pembangunan serta siri pendedahan antarabangsa yang telah dilalui sepanjang tahun ini.
Pengendali pasukan, Mohammad Faiz Samsukhidir, mengakui dua siri Kejuaraan Ragbi 7s Asia di Hangzhou, China (tempat kelapan) dan Colombo, Sri Lanka (kesembilan) memberi gambaran jelas tentang kekuatan dan kelemahan sebenar skuad kendaliannya.
“Selepas menamatkan kedua-dua siri, kami dapat mengenal pasti kelemahan sebenar pasukan. Pada masa sama, kami turut berpeluang menilai kekuatan pasukan lain yang bakal beraksi di Sukan SEA nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, Bunga Raya 7s wanita negara meraih pingat gangsa dalam edisi Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.
Menurut Faiz, skuad negara masih belum berada pada tahap sama dengan Thailand dan Singapura dari sudut persediaan menyeluruh apabila dua pasukan yang telah memulakan perancangan dan latihan intensif sejak tahun lalu.
“Kalau dibandingkan, kita sedikit ketinggalan kerana kedua-dua negara itu sudah lama membuat persiapan rapi, termasuk memperkukuh aspek kecergasan dan taktikal pasukan,” ujarnya lagi.
Bagi Filipina, beliau menjangkakan mereka sekali lagi akan menggunakan khidmat pemain import seperti yang dilakukan pada edisi Sukan SEA terdahulu bagi memperkuatkan jentera pasukan.
“Filipina biasanya mengambil peluang menggunakan kelebihan pemain import, dan itu satu cabaran besar buat kami di lapangan nanti,” katanya.
Mengulas sasaran pasukan, Faiz menegaskan pendekatan realistik menjadi keutamaan apabila meletakkan empat terbaik sebagai sasaran utama, namun tekad untuk menjejak kaki ke final tidak pernah luntur.
“Secara realistik, kami hanya mampu berada dalam kelompok empat terbaik. Tapi kami akan berusaha sehabis baik untuk menempatkan diri dalam perlawanan akhir,” tekadnya.
Ringkasan AI
- SUKAN SEA 2025 di Thailand akan menjadi penilaian utama bagi skuad ragbi tujuh sebelah wanita negara, Bunga Raya
- Skuad mendapat gambaran kekuatan dan kelemahan melalui penyertaan dalam dua siri Kejuaraan Ragbi 7s Asia
- Bunga Raya 7s wanita memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019
- Skuad negara dianggap ketinggalan dari Thailand dan Singapura dari segi persediaan dan latihan
- Faiz menetapkan sasaran realistik untuk berada dalam empat terbaik dengan tekad mencapai final




