Kuala Lumpur: Media Prima Audio (MPA) terus membuktikan dominasi dalam dunia penyiaran apabila dua jenama utamanya iaitu Hot FM dan Molek FM mencatat kejayaan luar biasa, sekali gus mengukuhkan kedudukan MPA sebagai peneraju radio tanah air.
Hot FM kekal sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia dengan 3.9 juta pendengar mingguan, menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus.
Kejayaan itu turut disumbangkan oleh segmen pagi popular, Bekpes Hot yang melonjak sebanyak 12.3 peratus kepada lebih 2.4 juta pendengar.
Di platform digital, Hot FM mencatat lebih 1.3 bilion tontonan video dan bukti pengaruh meluas jenama ini dalam dunia digital.
Selain itu, Molek FM kini secara rasmi muncul sebagai stesen nombor satu di Pantai Timur bagi golongan berusia 15 hingga 59 tahun.
Stesen ini merekodkan peningkatan pendengar mingguan sebanyak 43.4 peratus menjadikan jumlah keseluruhan seramai 710,000 orang.
Secara keseluruhan, lima jenama radio di bawah MPA iaitu Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM dan Eight FM berjaya mencatat jumlah pendengar mingguan sebanyak 5.9 juta, berdasarkan kajian CMV bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Fly FM kekal sebagai stesen radio berbahasa Inggeris yang mengutamakan muzik dengan pendekatan ‘More Music, Less Talk’, dan memainkan 27 peratus lebih banyak lagu berbanding mana-mana stesen seumpamanya. Ia menarik seramai 2.2 juta pendengar setiap minggu.
Sementara itu, Kool 101 terus menjiwai kehidupan harian rakyat Malaysia dengan peningkatan 22.8 peratus jumlah pendengar mingguan hampir 480,000 dan mencatat 357 juta tontonan video serta 17 juta interaksi di media sosial.
Eight FM pula terus memperkukuh kedudukan dalam kalangan komuniti Cina moden dengan hampir 360,000 pendengar, 108 juta tontonan video dan 16 juta interaksi di platform digital.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, pencapaian ini membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap jenama-jenama di bawah MPA.
“Kami bukan sekadar mengisi waktu siaran, tetapi berusaha mencipta detik-detik bermakna dalam kehidupan harian pendengar. Kejayaan ini lahir daripada dedikasi penuh pasukan kami setiap hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd