SUBANG JAYA: Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri terjejas, Media Prima Audio (MPA) hari ini melancarkan Misi Bantuan Banjir 2024 dengan tema #SuaraBantuan.
Kempen kemanusiaan ini bertujuan mengumpul dan menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan di kawasan-kawasan terjejas seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa lokasi lain di seluruh negara.
Majlis pelancaran tersebut diadakan di Mydin Mall USJ, Subang Jaya dan diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat, antaranya Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin; Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Muhammad Nazri Noran; Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dan Ketua Setiausaha MAPIM Malaysia, Faris Hussain.
Kempen #SuaraBantuan yang akan berlangsung selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Disember 2024 ini akan dijalankan di empat lokasi utama seperti Mydin Mall USJ, Subang Jaya; Mydin Seksyen 18, Shah Alam; Mydin Semenyih, serta Gudang Sentral MAPIM Malaysia di Sepang.
Orang ramai turut dijemput untuk menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan barangan kebersihan di lokasi-lokasi terpilih yang akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam di Mydin Mall dan jam 9 pagi hingga 5 petang di Gudang Sentral MAPIM.
Kempen ini bukan sahaja diusahakan oleh MPA, tetapi turut mendapat sokongan penuh daripada Mydin Mohamed Holdings Bhd yang menyumbangkan barangan keperluan asas bernilai RM50,000 dan menyediakan lokasi pungutan di cawangan-cawangan terpilih.
MYDIN juga menyokong logistik dan pengedaran barangan bantuan ke kawasan-kawasan yang terjejas melalui kerjasama dengan MAPIM Malaysia, sebuah pertubuhan yang berperanan penting dalam menguruskan pengagihan bantuan.
Ameer dalam ucapan pelancarannya berkata, pihaknya sentiasa komited untuk membantu masyarakat dalam keadaan sukar.
“Melalui kempen ini, kami berharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir yang sedang melalui dugaan besar,” katanya.
Sebagai penganjur utama, MPA turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tentang kempen ini melalui platform media sosial dan siaran radio seperti Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM dan Eight FM.
MPA turut mengajak pendengar untuk bersama-sama menjayakan kempen ini.
Tidak ketinggalan, terdapat beberapa personaliti radio juga akan turun padang untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai agar menyumbang.
Sementara itu, Muhammad Nazri berkata, kerjasama strategik ini menggambarkan semangat kebersamaan yang diperlukan dalam mengharungi cabaran.
MPA berharap kempen ini dapat memberi kesan positif dan membantu mengurangkan penderitaan mangsa banjir.
“Kami berterima kasih kepada Mydin dan MAPIM Malaysia atas sokongan mereka dan berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Setiap sumbangan yang diterima sangat berharga dalam meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.
Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kempen ini, orang ramai boleh mengikuti media sosial rasmi stesen-stesen radio Media Prima Audio seperti Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM dan Eight FM.
© New Straits Times Press (M) Bhd