Media Prima lancar kempen patriotik bertemakan makanan

Media Prima lancar kempen patriotik bertemakan makanan


Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia 2024, Media Prima Berhad tampil menyemarakkan semangat patriotisme dengan melancarkan kempen “Manis Pahit Bersama, Malaysia Paling Best”.

Kempen ini bertujuan mengajak rakyat Malaysia untuk menghayati kepelbagaian dan keunikan warisan budaya serta kulinari tanah air, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat.

Menariknya, kempen kali ini menjadikan makanan sebagai tema utama lantas membawa signifikansi yang lebih mendalam.

Ia bukan sahaja meraikan kepelbagaian citarasa, malah berfungsi sebagai simbol perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Makanan ikonik seperti nasi lemak, roti canai, dan char kuetiau menjadi pemacu semangat kempen di mana setiap hidangan membawa khazanah tradisi dan budaya yang tersendiri.

Satu lagi tarikan utama kempen ini adalah video khas sempena Hari Kebangsaan yang memaparkan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat berkongsi apa yang mereka cintai dan banggakan tentang Malaysia.

Video ini berfungsi sebagai naratif kolektif yang menyatukan setiap individu dalam semangat cintakan negara selain mengingatkan kita tentang pelbagai sebab untuk berbangga dengan identiti sebagai rakyat Malaysia.

Selain itu, video Hari Malaysia juga menonjolkan makanan Malaysia, menampilkan pertandingan santai antara hidangan ikonik seperti nasi lemak, roti canai, char kuetiau, sate, dan teh tarik.

Video ini akan meneroka kisah di sebalik setiap hidangan, memaparkan kekayaan budaya makanan Malaysia dan mengajak rakyat Malaysia menikmati kepelbagaian yang menjadikan masakan Malaysia begitu istimewa dan unik.

Lebih daripada secubit rasa

Bukan sekadar menjanjikan kelazatan di hujung lidah, “Manis Pahit Bersama, Malaysia Paling Best” turut membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi cerita, nostalgia, dan pengalaman mereka yang terjalin dengan makanan.

Pelbagai permainan interaktif disediakan di pautan ini bagi memeriahkan lagi kempen ini.

Salah satu tarikan utama ialah undian makanan popular yang mengajak orang ramai memilih hidangan yang melambangkan budaya Malaysia.

Selain itu, orang ramai juga boleh menguji pengetahuan mereka tentang dunia kulinari Malaysia dan berpeluang memenangi hadiah lumayan.

Tidak ketinggalan, sertai juga aktiviti media sosial #GengMakanan dengan memuat naik gambar makanan atau restoran kegemaran, serta hiasi foto tersebut dengan bingkai digital yang disediakan khusus untuk kempen ini.

Gambar terpilih akan dipaparkan di papan iklan digital sekitar Lembah Klang bagi memperkenalkan warisan kulinari Malaysia kepada khalayak umum.

Piknik Hari Malaysia

Kemuncak kempen ini, Media Prima akan menganjurkan ‘Piknik Hari Malaysia’ yang bakal berlangsung di Taman Botani Putrajaya pada 15 September depan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Pelbagai acara menarik disusun bagi memeriahkan suasana termasuk persembahan artis popular tanah air dan jamuan berupa nasi lemak dan teh tarik disediakan secara percuma kepada pengunjung.

Selain itu, terdapat juga pertandingan memasak serta pelbagai permainan dan aktiviti disediakan khusus untuk memeriahkan suasana buat anak-anak.

“Manis Pahit Bersama, Malaysia Paling Best” merupakan wadah untuk rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian dan perpaduan yang menjadi teras kekuatan negara.

Ayuh sambut kemerdekaan dengan cara yang istimewa dan penuh bermakna.

Layari pautan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top