Media sosial ‘racun’ dalam rumah tangga

Media sosial ‘racun’ dalam rumah tangga


KECANGGIHAN teknologi media sosial sepatutnya dimanfaatkan untuk perkara berfaedah, namun hakikatnya ramai pasangan dalam rumah tangga terjerumus dalam konflik akibat penyalahgunaannya.

Keadaan itu akhirnya membawa kepada perceraian apabila guna platform maya disalahgunakan tanpa kawalan.

Pendakwah terkemuka, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, sudah tiba masanya golongan suami memainkan peranan lebih besar untuk memelihara keharmonian rumah tangga agar tidak mudah diganggu anasir negatif media sosial.

USTAZ WADI ANNUAR

Beliau mengumpamakan media sosial sebagai ‘racun’ perlahan dalam rumah tangga jika tidak dikawal dengan baik.

“Bukan apa, ia lebih kepada keburukan daripada kebaikan sekiranya tidak pandai mengawalnya.

“Antaranya soal masa. Lagi banyak akaun (media sosial) dia ada, lagi banyak dia nak ‘ulang kaji’, nak tengok setiap malam,” katanya dipetik menerusi video bertajuk Media sosial: Racun perlahan rumah tangga yang dikongsikan menerusi laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Lebih membimbangkan, ujar Ustaz Wadi Annuar, wujud kecenderungan dalam kalangan suami atau isteri untuk membuka aib pasangan di media sosial, sedangkan perbuatan itu jelas diharamkan dalam Islam.

“Menyebarkan aib hukumnya haram, apatah lagi aib yang kita sebarkan itu aib suami atau isteri sendiri, berganda-ganda dosanya dan lebih berat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan hadis Nabi Muhammad SAW tentang ancaman kepada mereka yang suka mencari-cari keburukan orang lain.

BANYAK keburukan daripada kebaikan jika tidak pandai mengawal penggunaan media sosial. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

BANYAK keburukan daripada kebaikan jika tidak pandai mengawal penggunaan media sosial. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Apatah lagi, kata penceramah itu, trend berkongsi aib pasangan secara terbuka di media sosial seolah-olah menjadi kebiasaan pada hari ini tanpa rasa bersalah.

“Bayangkan manusia hari ini bukan sahaja mencari-cari aib, tetapi lebih canggih lagi, dia turut berkongsi dengan orang lain,” katanya.

Ustaz Wadi Annuar menegaskan, perbuatan membuka aib pasangan melalui status media sosial hanya menambah beban dosa meskipun tidak menyebut nama individu terbabit secara terang-terangan.

“Dia kata, ‘Saya tak pernah sebut nama suami saya, ustaz’. Ya, memang tidak pernah sebut, tetapi bila dia tulis contohnya, ‘Orang lain pun pergi kerja juga, tapi tak adalah balik lewat tiap-tiap hari’.

PERBUATAN membuka aib pasangan melalui status media sosial hanya menambah beban dosa meskipun tidak menyebut nama individu terbabit secara terang-terangan. -Foto: CANVA

PERBUATAN membuka aib pasangan melalui status media sosial hanya menambah beban dosa meskipun tidak menyebut nama individu terbabit secara terang-terangan. -Foto: CANVA

“Sedangkan dalam rumahnya, anak dia tak kerja pun. Itu sebenarnya tetap membuka aib,” katanya.

Begitu juga apabila seseorang menulis status sindiran secara terbuka dengan niat mendedahkan kelemahan pasangan, sedangkan perbuatan itu sangat tercela.



Source link

OR

Scroll to Top