Meerqeen pernah diherdik, kepala dipijak kekasih

Meerqeen pernah diherdik, kepala dipijak kekasih



am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon Meerqeen mendedahkan dia pernah berada dalam hubungan toksik dengan hanya mengikut telunjuk kekasih sehingga sanggup membiarkan kepalanya dipijak.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, berkata, dia akhirnya meninggalkan teman wanitanya itu kerana menyedari tidak mungkin dapat mengubah sikap buruknya itu.

“Saya percaya ada lelaki yang sabar serta sanggup menerima layanan buruk (hubungan toksik) daripada orang tersayang kerana perasaan sayang selain yakin si dia akan berubah.

“Malah, saya juga pernah berdepan situasi sebegitu seperti diherdik kekasih dan sebagainya. Saya tak marah tapi kesabaran ada hadnya.

“Itu cerita dulu, maknanya saya cuma nak maklumkan masih ramai lelaki yang sedia terima apa sahaja demi cinta,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan sesi memperkenalkan barisan pelakon drama bersiri adaptasi dari novel popular Thariq Ridzuwan Commando’s: His treasure yang berlangsung di pejabat Metrowealth di sini, semalam.

Mengulas permintaan peminat tegar novel popular yang tular itu yang mempunyai calon (pelakon) lain untuk watak utama dalam drama bersiri itu pula, kata Meerqeen, ia juga memberi cabaran tersendiri buatnya untuk memberikan lakonan 100 peratus.

“Saya dipilih produksi untuk memegang watak utama drama ini bersandarkan beberapa kriteria tertentu.

“Jadi, saya akan cuba menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin serta sudah sedia untuk masuk penggambaran drama ini yang akan bermula pada 10 April nanti,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah membaca novel itu, kata Meerqeen, dia sengaja tidak membaca keseluruhan novel kerana ingin menterjemahkan peribadi watak Thariq bersandarkan olahan skrip.

“Saya melakonkan watak anggota ‘Special Force’, Thariq Ridzuwan yang juga suami kepada Husniya Radwa (lakonan Qasrina Karim) yang ada masalah kesihatan mental.

“Thariq pula digambarkan sebagai suami yang tidak pernah meninggikan suara apatah lagi melawan segala tindakan kasar isterinya.

“Penggambaran dijangka mengambil masa sekitar dua bulan dan jika nak diikutkan, saya memang sudah mendalami watak serta sisi Thariq yang sangat tenang,” katanya.

Drama genre aksi dan cinta arahan Eyra Rahman turut menampilkan barisan pelakon seperti Noli K-Clique, Afiq Hamidon, Avertts Gomes, Mia Sara Shauki, Jay Iskandar dan Azri Safix.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top