aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing memberi bayangan untuk memberi laluan kepada pemain lebih muda bagi menggalas cabaran negara pada Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark bulan depan.
Menurut Mei Xing, selepas tiga kali beraksi dalam kejohanan berprestij itu, dia merasakan sudah tiba masa pemain muda diberi peluang menimba pengalaman di pentas berpasukan terbesar dalam badminton wanita dunia.
Katanya, Piala Uber adalah platform terbaik untuk pemain muda merasai sendiri suasana serta tekanan sebenar saingan berpasukan di peringkat antarabangsa.
“Bukan tidak mahu berjuang bersama pasukan, tapi Piala Uber adalah pentas terbaik untuk pemain merasai kehangatan dan bagaimana beraksi dalam saingan berpasukan. Lagi pula saya sudah tiga kali beraksi.
“Bagaimanapun, saya tetap memberi sokongan penuh kepada mana-mana pemain yang dipilih menyarung jersi negara pada kejohanan itu,” katanya.
Menurutnya, dia akan terus memberi fokus kepada latihan seperti biasa di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi meningkatkan prestasinya.
“Saya rasa bagi peluang kepada pemain junior adalah lebih bagus kerana mereka sangat memerlukan pengalaman. “Saya tidak ada masalah untuk kekal di sini dan menjalani latihan seperti biasa.
“Saya beri peluang kepada pemain lain kerana saya sudah pernah bermain pada Piala Uber. Oleh itu, saya fikir adalah lebih baik untuk pemain junior pula menggalas tanggungjawab ini,” katanya.
Secara realistik, Malaysia dijangka berdepan cabaran sukar untuk mencabar kejuaraan Piala Uber berdasarkan kekuatan semasa skuad wanita negara.
Ini kerana mereka perlu berdepan kuasa besar badminton dunia seperti China dan Jepun yang sering mendominasi kejohanan berkenaan.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Uber adalah mara ke suku akhir pada edisi 2008 dan 2010.
Pada edisi terakhir dua tahun lalu pula, skuad negara sekadar menamatkan cabaran di peringkat kumpulan.
Sementara itu, Mei Xing yang turut beraksi dalam acara beregu campuran bersama Tan Zhi Yang mengakui masih menyesuaikan diri dengan situasi beraksi dalam dua acara, terutama selepas mengharungi dua kejohanan di Singapura sebelum ini.
“Intensiti permainan masih baik, cuma tidak cukup masa dari segi rehat dan pemulihan.
“Saya rasa mungkin aspek itu boleh diperbaiki dalam beberapa lagi kejohanan selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






