Putrajaya: Program Ujian Kecergasan Nasional Orang Kurang Upaya (OKU) diluluskan hari ini sebagai mekanisme rasmi saringan kecergasan bagi calon OKU yang memohon berkhidmat dalam sektor awam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program berkenaan diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 2/2025 yang dipengerusikan beliau hari ini.
“Pembangunan Ujian Kecergasan Nasional OKU ini bukan sahaja berfungsi sebagai panduan standard dalam menilai tahap kecergasan calon OKU secara lebih sistematik dan inklusif, malah turut memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap prinsip kesamarataan peluang dan pembangunan insan tanpa diskriminasi,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) berkata, mesyuarat menumpukan pada beberapa agenda penting termasuk status persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA dan Sukan Para 2025.
Beliau berkata, penekanan turut diberikan terhadap prestasi atlet dan strategi memperkukuh daya saing selain pencapaian pingat dalam acara sukan serantau dan antarabangsa.
“Bagi memperkukuh aspek mental dan motivasi, para atlet kontinjen ini juga akan mengikuti kursus bersama Akademi Kenegaraan Malaysia sebagai persediaan membina semangat juang dan keyakinan untuk menang,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Orang Asli yang akan berfungsi sebagai platform mencungkil bakat baharu dan menyediakan kemudahan latihan bertaraf tinggi kepada komuniti itu dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Pengiktirafan juga diberi kepada SMK Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Kuala Lipis, Pahang sebagai pusat kecemerlangan sukan Orang Asli dan dilihat berpotensi untuk melahirkan atlet Orang Asli berdaya saing di peringkat tertinggi.
“Saya telah mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menaja tiket kepada pelajar sekolah dan golongan OKU bagi menyaksikan kejohanan MotoGP di Sepang pada tahun hadapan selain mencadangkan supaya kejohanan ini dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai antara tarikan utama pelancongan sukan negara,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan positif dalam pelbagai disiplin sukan negara termasuk e-sukan dan badminton yang mencatatkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






