Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (tiga dari kiri) meraikan kejayaan pasukan Melaka yang menjuarai Piala Tun Ali 2025. FOTO: Bernama
TUAN rumah, Melaka dinobatkan sebagai juara regu lelaki Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 buat kali pertama selepas menewaskan Kedah di Bukit Serindit pada Ahad.
Trio Melaka yang dibarisi pemain kebangsaan Mohd Azlan Alias selaku apit kanan, tekong import dari Thailand Pongsatorn Phong-Udtha dan apit kiri Muhammad Zaim Razali tampil cemerlang untuk mencatat kemenangan 17-14 dan 15-12 dalam masa 53 minit.
Kejayaan itu menebus kekecewaan Melaka dalam tiga edisi terdahulu, selain pernah muncul naib juara pada 2022.
Selaku juara, Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, manakala Kedah selaku naib juara menerima RM10,000 berserta piala.
Melaka turut mendominasi anugerah individu apabila Pongsatorn dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dan Mohd Azlan sebagai Apit Kanan Terbaik, sementara pemain Kedah Zulhusni Basri dipilih Apit Kiri Terbaik.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata kejayaan merangkul kejuaraan itu amat bermakna buat Melaka yang pada awalnya hanya menyasarkan tempat ke separuh akhir.
“Syukur Alhamdulillah, mara ke final ia sudah dianggap bonus. Apa pun, saya amat bersyukur kerana penampilan pertama saya bersama Zaim membuahkan hasil dengan kemenangan,” ujarnya.
Dalam acara kuadran yang pertama kali diperkenalkan pada edisi kali ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara selepas menewaskan Perak 2-0 menerusi keputusan 17-16 dan 15-9 pada aksi final.
Bagi acara regu wanita pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menundukkan Sabah 2-0 dengan kemenangan 15-9, 15-9.
Ringkasan AI
- Melaka dinobatkan sebagai juara regu lelaki Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 untuk kali pertama
- Trio Melaka mencatat kemenangan atas Kedah dengan keputusan 17-14 dan 15-12
- Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi
- Pongsatorn Phong-Udtha dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dan Mohd Azlan sebagai Apit Kanan Terbaik
- Acara kuadran dan regu wanita pertama kali diperkenalkan dengan ATM dan PDRM masing-masing menjadi juara






