am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beli dan terus pakai. Bunyinya memang mudah namun lambakan cermin mata siap pakai di pasaran yang dijual secara terbuka, mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan dan kesihatan kepada pengguna.
Ini kerana, mereka yang memakainya tertinggal satu perkara penting iaitu tidak mendapat status maklumat kesihatan mata dengan betul.
Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Ahmad Fadhullah Fuzai, berkata walaupun cermin mata siap pakai sesuai digunakan untuk aktiviti asas seperti membaca atau pemanduan, ia tidak menggantikan pemeriksaan klinikal profesional.
Katanya, penglihatan bukan sekadar soal nampak atau tidak, tetapi merangkumi bagaimana mata digunakan secara serentak dan bagaimana otak memproses maklumat visual yang diterima.
“Ramai yang tidak sedar bahawa kejelasan penglihatan hanyalah satu aspek daripada kesihatan visual yang menyeluruh.
“Keupayaan mata untuk bekerjasama, mengekalkan tumpuan, dan menyesuaikan pandangan pada jarak berbeza turut memainkan peranan penting dalam aktiviti harian seperti membaca, memandu dan bekerja di skrin.
Gangguan pada koordinasi mata atau keletihan visual boleh berlaku walaupun tahap penglihatan masih dianggap “normal” dari segi ketajaman,” katanya.
Pemerhatian wartawan mendapati, cermin mata pakai siap ini dijual secara terbuka di kedai serbaneka dan pasar raya pada harga murah.
Ia menjadi pilihan pengguna kerana mudah didapati serta kadar kerabunan sudah disediakan dan dilabel pada cermin mata berkenaan untuk rujukan.
Ahmad Fadhullah berkata, penjagaan mata bukan hanya membabitkan pemeriksaan rabun, tetapi juga memerlukan penilaian menyeluruh terhadap fungsi visual.
Kesedaran mengenai perkara ini penting agar kualiti penglihatan dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang, terutamanya dalam dunia moden yang menuntut penggunaan mata secara intensif.Mengulas isu berkenaan, jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, cermin mata jenis itu boleh digunakan secara sementara oleh individu dengan kuasa rabun dekat yang sama pada kedua-dua mata dan tanpa silau.
Namun katanya, ia tidak sesuai untuk semua orang dan tidak menggantikan keperluan pemeriksaan mata oleh optometris.
“Pemakaian tanpa pemeriksaan boleh menyebabkan sakit kepala, ketidakselesaan mata, kemungkinan terdapat masalah mata yang lebih serius.
“Pemeriksaan mata tetap penting untuk preskripsi yang tepat dan pengesanan awal penyakit mata, “katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd