Penyanyi dan pelakon, Ara Johari, tampil memberi pandangannya berhubung dakwaan kononnya wujud unsur ‘buatan orang’ dalam pertandingan nyanyian.
Enggan mengiyakan atau menolak secara melulu, Ara berkata, tuduhan tanpa bukti boleh menjatuhkan fitnah dan mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Nak kata saya tak percaya pun tak boleh, tapi kalau cakap percaya pula nanti orang anggap saya terlalu taksub.
“Cuma saya tak berani tuduh melulu sebab takut jatuh fitnah,”katanya.
Tambah penyanyi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain itu, meskipun dirinya belum pernah mengalami sebarang kejadian mistik, namun dia tidak menolak kemungkinan perkara tersebut masih wujud dalam masyarakat apatah lagi selepas mendengar pengalaman orang terdekat.
“Sebelum ini saya tak ambil kisah sangat tentang hal mistik, sehinggalah orang terdekat sendiri yang kena.
“Barulah saya sedar betapa pentingnya kita menjaga tutur kata supaya tidak menimbulkan kebencian orang lain,” jelasnya.
Ara berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Indonesia Siapa Dia? arahan Garin Nugroho, pada Isnin.
Mengula slanjut, ketika ditanya sama ada artis perlu memiliki pendinding sebagai perlindungan diri, Ara menjelaskan, ia bergantung kepada keperluan individu.
“Mungkin orang yang selalu diganggu memang perlu ada pendinding, tapi pendinding yang betul iaitu dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran, bukan benda yang boleh membawa kepada syirik.
“Buat masa ini, saya rasa belum perlu, cuma saya kena lebih berhati-hati,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Ara turut menyumbangkan vokal bagi lagu runut bunyi filem Siapa Dia? untuk tayangan di Malaysia berjudul Cinta Terhebat.
Filem yang menampilkan barisan pelakon popular Indonesia seperti Nicholas Saputra, Amanda Rawles, Ariel Tatum, Widi Mula dan ramai lagi itu bakal menemui penonton tempatan mulai 16 Oktober ini.