SEGALA puji bagi Allah SWT yang menciptakan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas Baginda SAW, keluarga, sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.
Baru-baru ini, tular kisah perceraian pasangan selebriti yang mana ia telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif kepada masyarakat apabila aib pasangan tersebut diwar-warkan secara terbuka. Demikian itu, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan tampil untuk memberikan penjelasan hukum berhubung isu ini.
Syeikh Zakaria al-Ansari mendefinisikan ghibah adalah menyebutkan atau menceritakan perihal seseorang dengan perkara-perkara yang tidak disukainya sama ada berhubung harta, anak, suami isteri dan sebagainya.
Hukumnya adalah haram, sama ada ia dinyatakan dalam bentuk percakapan, tulisan, isyarat dengan mata, kepala, tangan dan lain-lain. Namun, terdapat keharusan untuk melakukannya jika terdapat sebab-sebab tertentu bahkan ia menjadi wajib apabila seseorang diminta memberikan nasihat tentang sesuatu perkara atau memberi amaran jika berlakunya kejahatan.
Perbuatan membuka aib orang lain merupakan larangan yang sudah jelas di sisi syarak dan telah disebutkan dalam banyak dalil-dalil syarak. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:
“Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Surah al-Hujurat (12)
Ibn Kathir menjelaskan bahawa mendedahkan aib seseorang termasuk dalam sesuatu yang diharamkan dan berdosa menurut ijmak ulama.
Namun, larangan ini terkecuali sekiranya terdapat maslahat-maslahat tertentu seperti seseorang itu menceritakan aib pasangannya kepada orang lain bagi tujuan menyelesaikan masalah, mendapatkan khidmat nasihat atau mengelakkan kezaliman pada dirinya. Ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul serta diuruskan oleh pihak berautoriti sama ada di hadapan hakim mahkamah, pakar kaunseling keluarga dan sebagainya.
Selain itu, terdapat hadis yang menjelaskan tentang ghibah sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kamu, apakah ghibah itu?” Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebut tentang hal saudara kamu yang dia tidak suka.” Baginda ditanya lagi, “Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku bicarakan?” Baginda menjawab: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada maka engkau telah berbuat ghibah, namun jika tidak benar, maka engkau telah menyebarkan fitnah.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa ghibah itu penceritaan keburukan seseorang kepada orang lain, meskipun perbuatan buruk benar-benar dilakukan. Oleh yang demikian, jika seseorang telah melakukan perkara yang tidak baik, syarak tidak memberi kebenaran untuk disebarkan kepada individu lain atau kepada khalayak ramai.
Perceraian atau kemelut yang berlaku dalam sesebuah rumah tangga bukanlah menjadi satu peluang bagi suami atau isteri menyakiti perasaan pasangannya sama ada dengan cara menghina bekas pasangan atau mendedahkan aib masing-masing.
Allah SWT memberikan perumpamaan bahawa pasangan suami isteri itu ibarat pakaian yang sifatnya saling menutupi keaiban antara satu sama lain serta melindungi diri mereka daripada perkara-perkara yang menyakiti. Hal ini kerana sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” Surah al-Baqarah (187)
Al-Raghib al-Asfahani dalam tafsirnya menyatakan perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merupakan satu bentuk kiasan (kinayah) yang memberi maksud bahawa pasangan suami isteri itu sifatnya melindungi satu sama lain daripada hal-hal yang buruk:
Maksudnya: “Dijadikan pakaian itu sebagai perumpamaan bagi suami isteri, kerana ia merupakan penutup untuk melindungi dirinya serta pasangannya daripada terdedah kepada keburukan mereka”.
Larangan ini juga berdasarkan ancaman Allah SWT kepada mereka yang mendedahkan hal-hal peribadi serta aib pasangan yang dianggap sulit semasa dalam tempoh perkahwinan. Mereka akan ditempatkan pada kedudukan yang buruk di sisi Allah SWT.
Hadis riwayat Abu Sa’id al-Khudri bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.” (Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadis di atas merujuk kepada pengharaman perbuatan suami mendedahkan perkara-perkara sulit yang berlaku antara suami isteri seperti hal-hal yang berkait keseronokan antara suami isteri (istimta’) serta menceritakan secara terperinci tentang apa yang dilakukan oleh isteri sama ada dari segi kata-kata, perbuatan dan sebagainya. Justeru, ia menjelaskan bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang diharamkan oleh syarak kecuali terdapat manfaat atau keperluan untuk melakukannya.
Islam merupakan agama yang mempertahankan maruah individu dengan menetapkan larangan membuka aib dirinya, pasangan suami isteri serta insan sekelilingnya.
Syarak tidak membenarkan untuk menyebarkan aib dan perihal buruk seseorang pada khalayak ramai meskipun perbuatan buruk benar-benar dilakukannya. Oleh itu, hukum mendedahkan aib adalah haram dan berdosa, sementara memelihara aib pasangan dan menutup segala kekurangannya merupakan sesuatu amanah.
Perkongsian berkait hal-hal peribadi pasangan dan masalah rumah tangga di media sosial tidak sewajarnya dilakukan bahkan ia bukanlah saluran yang tepat kerana boleh mencetuskan kekeruhan. Hal ini kerana, keharusan yang diberikan oleh syarak untuk suami atau isteri menceritakan aib pasangannya adalah jika ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah, memberi keterangan kepada mana-mana badan yang berautoriti seperti di hadapan hakim mahkamah.
Oleh hal yang demikian, segala hal peribadi pasangan tidak perlu didedahkan sehingga diketahui oleh pihak-pihak luar yang tidak berkepentingan sama ada ketika dalam tempoh perkahwinan mahupun selepas perceraian.
Sumber: Bayan Linnas Siri Ke-300: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 20/10/2024