norhayati_nordin@hmetro.com.my
KEHIDUPAN berbilang kaum masyarakat di Malaysia sangat unik. Segala perayaan dirai bersama meskipun berlainan agama, bangsa dan budaya.
Tanggal 20 Oktober ini, seluruh masyarakat India menyambut perayaan Deepavali atau dikenali juga ‘Pesta Cahaya’, sekali gus cuti umum pun bermula.
Bagi pembaca berita Buletin Utama (BU) TV3 dikenali sebagai Vinsla Santiran, 27, dia bersama keluarga wajib membuat muruku dan makanan tradisional India lain termasuk kuah kari serta tose.
“Tapi, bezanya sambutan Deepavali saya sekeluarga ialah lebih ramai kawan-kawan bapa saya yang Melayu, Cina begitu juga rakan abang saya datang ke rumah berbanding kaum sendiri.
“Sejak kecil, saya tinggal di kuarters Urus Air Selangor atau dulu dikenali SYABAS Sungai Besar. Bapa saya, seorang sahaja pekerja India dan kami satu-satunya keluarga India di kuarters itu.
“Jadi, memang daripada kecil membesar dengan keluarga Melayu. Apatah lagi, macam Deepavali itu semua kawan Melayu emak akan ziarah rumah. Makan tose, kari kambing.
“Begitu juga, bila nak sambut hari raya Melayu, emak saya pula belajar dengan mereka buat rendang, anyam ketupat. Selalunya, ramai orang Melayu datang rumah kalau kami sambut Deepavali,” katanya.
Menurut Vinsla, hubungan baik dan saling menghormati dijalin sesama kaum sejak kecil sampai sekarang masih erat dan masih bertanya khabar.
“Cuma, sekarang pun kami sekeluarga sudah berpindah ke taman perumahan adalah sedikit keluarga India yang datang rumah (ketika Deepavali).
“Saya masih ingat dulu di kuarters SYABAS, bapa saya seorang staf India, kawan dia semua Melayu. Bila saya keluar rumah pakai seluar pendek mesti ditegur dan minta tukar.
Ditanya juga makanan kegemarannya ketika Deepavali, Vinsla berkata, dia sangat menyukai tose dan idiyappam dalam Bahasa Tamil iaitu sejenis putu mayam, makan dengan kuah kari dan minum teh tarik.
Berbicara kenangan meraikan Deepavali ketika kanak-kanak yang tak dapat dilupakan Vinsla berkata, apabila dikunjungi kawan Melayu yang lebih mengenalinya dan kebudayaan kaum India sewaktu meraikan Deepavali.
Katanya lagi, setiap tahun bapanya akan menganjurkan acara rumah terbuka untuk kawan-kawan Melayu dan Cina. Tidak hanya meraikan dengan masyarakat India sahaja.
Mengulas sambutan meriah Deepavali di Malaysia setiap tahun, Vinsla berkata, dalam negara ini pelbagai kaum ada kebebasan untuk laksanakan kebudayaan masing-masing.
Ditanya juga budaya ‘duit raya’, Vinsla berkata, pemberian ‘angpau’ tetap ada dalam keluarga India yang mana pemberian kepada kanak-kanak bagi mereka sudah berkahwin.
“Macam saya yang bujang ini, boleh beri ‘angpau’ kepada ibu bapa sebab sudah bekerja,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Teruja bekerja ketika Deepavali
Kira-kira lima bulan menggalas tanggungjawab sebagai pembaca berita di TV3, Vinsla mengakui dia sangat teruja dapat bekerja membaca BU ketika Deepavali.
Menurut Vinsla, dia mahu menjadikan ia kenangan terindah kerana ia impian dipendam untuk membaca berita di TV3 sewaktu Deepavali dan bercuti selepas itu.
“Saya nak ini jadi kenangan apabila dapat baca berita di TV3 ketika Deepavali kerana inilah memori terindah yang saya impikan. Saya pun memang suka bekerja sebab jadi wartawan pun kerjaya impian.
“Ditambah lagi, peluang menjadi pembaca berita TV3 sudah lama saya impikan. Lebih-lebih lagi, bila dapat baca BU ketika sambutan Deepavali, bagi saya ini ‘privilege’ (kelebihan),” katanya.
Ujarnya, dia seronok bekerja dengan TV3 kerana ramai ‘sifu’ yang banyak membantu terutama dalam menambahbaik sebutan bahasa Melayunya.
© New Straits Times Press (M) Bhd