New York: Daniel Evans bangkit daripada ketinggalan 0-4 pada set terakhir untuk menewaskan Karen Khachanov dalam perlawanan terpanjang dalam sejarah Terbuka Amerika Syarikat (AS) iaitu lima jam 35 minit di gelanggang enam, hari ini.
Di hadapan penonton yang cukup meriah, Evans dari Britain menewaskan pilihan ke-23 dari Rusia itu 6-7 (6/8), 7-6 (7/2), 7-6 (7/4), 4-6, 6-4.
“Ia adalah pertembungan yang sangat panjang. Saya rasa sudah bermain dengan cukup baik untuk sebahagian besar perlawanan.
“Jelas sekali saya bergelut dengan aspek fizikal, begitu juga lawan saya. Siapa yang paling lama boleh bertahan akan menang,” kata Evans.
Perlawanan terpanjang Terbuka AS sebelum ini ialah kemenangan Stefan Edberg ke atas Michael Chang pada separuh akhir 1992, yang berlangsung selama lima jam 26 minit dengan Edberg menang 6-7 (3/7), 7-5, 7-6 (7/3). ), 5-7, 6-4.
Pertembungan itu pada mulanya dilihat tidak akan dapat memecahkan rekod berkenaan selepas Khachanov mendahului 4-0 pada set terakhir.
Namun entah bagaimana Evans memperoleh semangat baharu untuk bangkit melakar kemenangan mutlak.
“(Saya) hanya cuba merapatkan jurang sedikit demi sedikit. Setiap kali meraih mata, saya sangat bergelut dengan kaki saya. Saya dapat melakukan servis dengan baik, jadi itu memberikan saya sedikit harapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd