harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Waran tangkap sudah dikeluarkan terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita mendakwa Muhammad Adlan hidup mewah di sebuah negara Timur Tengah.
Menurutnya, beberapa tindakan berkaitan sudah dilaksanakan bagi membawa pulang individu berkenaan namun ia memerlukan kerjasama pihak berkuasa negara terbabit.
“Tapi apapun semua sedia maklum bahawa beliau berada di luar negara, kita keluarkan waran tangkap yang sebelum ini, ada tindakan-tindakan yang sedang kita laksanakan.
“Ia memerlukan bantuan daripada negara yang berkaitan dan insya-Allah kita akan mencuba yang terbaik,” katanya pada sidang media raptai Sidang Kemuncak Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dan Timbalan Pengarah Gerakan/Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh.
Mengulas lanjut Mohd Khalid berkata setakat ini PDRM belum menerima maklum balas daripada pihak Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung perkara itu.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, ahli perniagaan yang menjadi buruan itu dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Adlan dilaporkan dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Pada 16 Oktober lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, siasatan terhadap Adlan selesai dan arahan untuk pendakwaan dikeluarkan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilapor berkata, SPRM akan menyokong sepenuhnya keputusan AGC untuk meneruskan pertuduhan terhadap Adlan dan Mansoor secara ‘in absentia’.
© New Straits Times Press (M) Bhd