Osaka: Grand Ring dibina untuk Ekspo 2025 di Osaka bakal memberi penghormatan kepada sejarah seni bina Jepun dan menjadi simbol perpaduan walaupun terdapat kritikan terhadap kos, kata perekanya, Sou Fujimoto.
Struktur lingkaran kayu dua kilometer (km) itu akan mengelilingi berpuluh-puluh astaka negara pada acara dunia selama enam bulan itu yang dibuka mulai hari ini.
Ia baru-baru ini diiktiraf sebagai struktur binaan kayu terbesar di dunia oleh Rekod Dunia Guinness.
Ekspo Dunia, yang diadakan setiap lima tahun di lokasi berbeza, membolehkan negara yang mengambil bahagian mempamerkan kekuatan teknologi dan budaya mereka.
Penganjur sebelum ini bergelut untuk membangkitkan semangat untuk acara 2025, apabila menghadapi penjualan tiket yang perlahan dan kebimbangan orang ramai terhadap bajet pembinaan yang melonjak.
Tetapi Fujimoto, salah seorang arkitek terkemuka Jepun, memberitahu AFP, terdapat nilai yang lebih mendalam untuk Grand Ring yang menelan belanja 34.4 bilion yen (kira-kira RM927 juta) daripada sekadar tanda harganya.
“Ekspo ini adalah peluang yang sangat indah dan berharga di mana begitu banyak budaya berbeza dan negara berkumpul di satu tempat untuk mewujudkan kepelbagaian dan perpaduan,” kata lelaki berusia 53 tahun itu di bawah sinaran kekisi yang mengagumkan di Grand Ring.
Peristiwa sedemikian memudahkan pertukaran antarabangsa, walaupun konflik berkecamuk di Ukraine, Gaza dan tempat lain, dan untuk menggambarkan konsep ini, “bentuk paling mudah adalah bulatan.”
Teknik tradisional untuk menyambung tiang kayu yang diilhamkan oleh platform tinggi yang terkenal di Kuil Kiyomizu di Kyoto berdekatan, digunakan untuk membina Grand Ring.
Jadi, kata Fujimoto, ekspo itu juga “kesempatan yang menarik untuk menunjukkan bahawa Jepun mempunyai sejarah panjang” dalam bangunan kayu, kata Fujimoto.
Pembinaan struktur ini mengguna pakai kayu cedar Jepun dan hinoki, serta kayu aras merah Eropah yang lebih kuat, selain diperkukuh dengan logam untuk menjadikannya tahan gempa.
Rasuk kayu itu menahan bumbung yang landai, 20 meter pada titik tertingginya, untuk melindungi pengunjung daripada cuaca semasa mereka melawat astaka-astaka.
Bumbung juga berfungsi sebagai “skywalk” yang menawarkan pemandangan kawasan sekitarnya.
Fujimoto memberitahu AFP bahawa menggunakan kayu untuk Grand Ring adalah pilihan yang mampan, merujuk kepada “kitaran indah” pokok dalam menyerap karbon dioksida.
Hasil kerja Fujimoto sebelum ini termasuk “L’Arbre Blanc”, menara serbaguna di Montpellier Perancis, dan kekisi putih berpusing untuk Serpentine Pavilion 2013 di London.
© New Straits Times Press (M) Bhd