Bekalan semasa petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara dilaporkan berada pada tahap stabil dan mencukupi, sekali gus menepis dakwaan berlaku kekurangan seperti yang tular sebelum ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, situasi bekalan bahan api di Malaysia ketika ini adalah lebih baik dan stabil berbanding beberapa negara lain termasuk di rantau ini.
Beliau menjelaskan, isu yang timbul hanyalah melibatkan gangguan logistik bersifat terpencil yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya ketika musim perayaan susulan peningkatan permintaan.
“Perkara yang timbul dan diuar-uarkan adalah isu terpencil berhubung logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
“Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, dakwaan kekurangan bekalan di beberapa stesen minyak di Sabah sebelum ini juga telah diperjelaskan, termasuk kaitannya dengan situasi gangguan bekalan yang berlaku di negara jiran.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan api dalam negara ketika ini adalah terjamin.
Dalam masa sama, Armizan mengingatkan bahawa sebarang penjualan atau pengisian bahan api selain ke dalam tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peraturan berkaitan.

Tegas beliau, pihak kementerian tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk pengusaha stesen minyak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Artikel lain: Malaysia bukan negara berisiko ‘bankrap air’, namun perlu transformasi pengurusan sumber- Fadillah
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa usaha memperkukuh penguatkuasaan sedang dipertingkat melalui Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP), khususnya bagi menangani aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api di kawasan sempadan termasuk Sabah.
Menurutnya, risiko ketirisan kini semakin meningkat susulan konflik di Asia Barat serta jurang harga ketara antara bahan api bersubsidi dalam negara dan harga pasaran di negara jiran.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negeri, terutama dalam sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada diesel.
Beliau turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang memberikan taklimat berkaitan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Sumber: FB Armizan Mohd Ali





