Mendez pemain warisan terbaru Harimau Malaya

Mendez pemain warisan terbaru Harimau Malaya


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekuatan skuad Harimau Malaya dijangka bertambah mantap khususnya di bahagian tengah apabila seorang lagi pemain warisan terbaharu negara bakal diperkenalkan oleh Peter Cklamovski pada kem latihan pasukan September ini.

Selepas membawa masuk tujuh tonggak warisan baharu sejak Mac lalu, Nacho Mendez dijangka disenaraikan bagi digandingkan bersama Hector Hevel di posisi tengah skuad Harimau Malaya.

Untuk rekod, Mendez yang berdarah Sepanyol-Malaysia sudah menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak 9 Julai dan bekas pemain Sporting Gijon itu sering digandingkan dengan Hevel dalam beberapa aksi Liga Malaysia (Liga M) yang menyingkap tirainya awal bulan ini.

Menurut jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin, kehadiran Mendez bakal memberi tonik tambahan buat pasukan kebangsaan yang sebelum ini tercari-cari tonggak tengah berwibawa.

Malah kata Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) itu lagi, kerja Cklamovski dan barisan kejurulatihannya pasti mudah selepas Mendez dan Hevel sudah biasa beraksi bersama di bahagian tengah.

“Kita tahu kem negara tidak lama, jadi kehadiran Mendez dah tentu beri kelebihan buat pasukan di mana keserasian antara Mendez dan Hevel sudah terjalin apabila kerap bermain bersama di JDT,” katanya ketika dihubungi.

Begitupun Sulaiman akui, tahap Liga M tidak boleh dijadikan ukuran dan ujian sebenar buat kedua-dua pemain tengah itu adalah apabila beraksi menentang Singapura dan Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, pada 4 dan 8 September ini.

“Mereka berdua pernah bermain di tahap tertinggi di Eropah, dan apabila main di Liga M saya fikir ia tidak beri cabaran sebenar buat mereka.

“Tapi ujian sebenar adalah ketika bersama skuad negara nanti. Di situ kita akan dapat lihat kemampuan sebenar Mendez apabila menentang Singapura dan Palestin.

“Apapun kehadiran pemain warisan baharu itu akan bagi kekuatan yang ‘extra’ dan Cklamovski memiliki barisan pemain terbaik,” katanya.

Senarai barisan pemain dijangka akan diumumkan minggu ini bagi menghadapi Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, tujuh pemain warisan diumumkan termasuk Hevel, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Gabriel Palmero.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top