Menganggap sesuatu musibah sebagai anugerah Ilahi

Menganggap sesuatu musibah sebagai anugerah Ilahi


Kita sering kali tersalah anggap mengenai maksud dan penghayatan terhadap perkataan musibah, bala dan ujian. Oleh itu penelitian dalam perkara ini perlu diambil berat kerana ia berkaitan dengan kefahaman dan penghayatan serta maksud tersirat dalam setiap kata yang digunakan.

Dalam konteks bahasa Melayu dan Islam, musibah, bala dan ujian mempunyai makna yang berkait rapat, tetapi ada perbezaan halus dari segi maksud dan konteks penggunaannya dan ia berbeza dengan anugerah yang lebih menjurus ke arah kurnian untuk menjadikan seseorang itu mulia dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.

Pada dasar akidah Islam, setiap perkara yang berlaku adalah ketetapan takdir Ilahi yang tidak dapat dielakkan kerana sesuatu itu tidak akan berlaku melainkan dengan kehendak-Nya sahaja, namun kita perlu perhatikan siapa penerima takdir terbabit dan sejauh mana hubungan beliau dengan Allah SWT.

Dalam konteks Islam setiap perkara yang ditakdirkan itu mesti ada sebab dan penerimaan hamba terhadap musibah terbabit itu diketogarikan kepada anugerah, bala dan ujian. Ia dilihat dari sudut penerimaan seseorang hamba terhadap apa yang berlaku kepada dirinya sendiri. Boleh jadi sesuatu yang berlaku adalah sama, tetapi apabila terkena pada seseorang yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT ia menganggap sebagai anugerah dari Allah, ada yang menganggapnya sebagai bala dan ada yang menganggap ujian dari Allah.

Sesorang yang menganggap sesuatu musibah sebagai anugerah ialah hamba yang berada pada maqam para wali kerana ia arif bahawa setiap sesuatu itu adalah anugerah terhadap hamba, betapa tinggi baik sangka ia kepada Allah sehingga ia merasakan kesusahan, penderitaan, kemusnahan dan kerosakan itu anugerah Ilahi yang maha tinggi.

Hamba ini sudah mencapai makrifat Allah SWT. Manakala orang yang menerima musibah ini sebagai bala dan bencana akan timbul dalam hatinya tidak puas hati dan menyalahkan orang lain akibat dari sesuatu yang berlaku, ia tidak memandang langsung dari Allah SWT yang meletakkan takdirnya kepada setiap manusia.

Hal ini berlaku kerana jauhnya dia dengan Tuhan dan hatinya begitu busuk sehinggakan sentiasa berburuk sangka pada Tuhan dan manusia yang lain. Perkara ini membuatkan dia lebih jauh dari Allah SWT.

Adapun seseorang yang menerima musibah ini sebagai ujian dari Allah akan terlintas pada hatinya bahawa teguran Allah terhadapnya supaya lebih dekat kepada-Nya walaupun timbul kesedihan dalam hatinya, namun ia tidak mengatakan yang buruk terhadap Allah, beliau terus berdoa, memohon supaya dijauhkan dari musibah terbabit dan berusaha untuk keluar dari musibah itu dengan sedaya upaya dan akhirnya berserah pada Allah pada urusan yang tidak dapat dilaksanakan oleh dirinya sendiri.

Dalam konteks memahami segala musibah ini perlu dinilai dari sudut keimanan yang wujud dalam diri, sejauh mana kita dekat dan berserah kepada tuhan, itu yang kita sangka pada Tuhan.

Sebagai analoginya, seseorang pesakit pasti akan menyerahkan kepada doktor pakar dalam bidangnya untuk merawat sakitnya dan pesakit itu pasti akan menurut sahaja segala nasihat yang diberikan oleh doktor terbabit, namun jika dia tidak meyakini doktor pakar terbabit pasti dia tidak menuruti segala nasihat yang diberikan.

Kenapa ada yang yakin dan ada yang tidak yakin? Hal ini kerana tahap penerimaan dan kenal kita pada doktor terbabit, jika kita benar-benar kenal doktor terbabit pasti kita menyerahkan diri kita untuk dirawat dan mengikut nasihat yang diberikan.

Apa yang hairannya ialah apabila kita mencari doktor, tetapi kita tidak percaya kepada doktor, keadaan ini dianggap sebagai musibah dan bala yang besar, mengapa perlu dibelanjakan hartanya kepada perawat yang dia tidak yakini, bukankah itu bercanggah dengan kefahaman dan keyakinan beliau?

Pada musim sekarang ada beberapa negeri yang terbabit dengan banjir dan hampir memusnahkan seluruh barangan berharga dalam rumah, banjir yang berlaku menyebabkan ramai yang terjejas dengan kemusnahan serta kerosakan, semua kemusnahan itu hampir sama dirasai setiap orang yang terbabit, tetapi ada perbezaan dari segi penerimaan diri terhadap musibah terbabit, ada yang menganggap ia bala dan ada yang menganggap ia ujian dari Allah.

Hal ini kerana dilihat dari sudut penerimaan sesorang hamba terhadap musibah tersebut. Yang hebatnya dalam kalangan mereka yang menerima takdir-Nya sebagai anugerah dari Allah, mungkin kerana keadaan itu membuatkan seseorang menjadi mulia dengan sebab banjir terbabit.

Firman Allah: “Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah.” (Surah At-Taghabun: 11)

Ketiga-tiga istilah ini mengingatkan manusia bahawa kehidupan adalah perjalanan yang penuh cabaran dan ketentuan Ilahi. Hamba yang beriman hendaklah menerima semua ini dengan sabar, syukur dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top