Usahawan Ridzuan Ridzokumura meluahkan terkilan apabila pusara arwah isterinya, Akiko, dipercayai menjadi mangsa perbuatan khianat oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menerusi perkongsian di Instagram, Ridzokumura atau nama lengkapnya, Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 51, berkongsi tangkap layar WhatsApp yang diterimanya daripada penjaga kubur yang bertugas memaklumkan mengenai perbuatan tersebut.
“Penjaga kubur menghubungi saya, mengirimkan gambar sambil berkata bahawa kubur arwah isteri saya, arwah Akiko, telah dikhianati.
“Ada tangan-tangan yang tidak berperikemanusiaan menabur garam kasar di situ, seolah-olah mahu mematikan kesuburan yang Allah kurniakan.
Saya terdiam lama.
“Saya tidak tahu apa salahnya kubur itu, apa dosanya rumput-rumput yang tumbuh hijau dan subur. Jika kuburnya indah, itu bukan kerana manusia-tetapi kerana rahmat Allah. Namun mengapa ada hati yang begitu busuk, sanggup menyimpan dendam hingga ke tanah persemadian orang yang telah tiada?,” katanya.

Manakala, dalam hantaran sama juga, Ridzokumura meluhakan rasa sebaknya apabila ada pihak yang sanggup melakukan perkara sedemikian terhadap pusara isterinya sekali gus mendoakan agar arwah Akiko terus dilindungi dari segala niat buruk manusia.
“Saya benar-benar tidak faham. Bagaimana seseorang boleh sanggup melakukan perbuatan seperti itu. Hati saya hancur, tetapi lidah saya kelu.
“Ya Allah, Saya sendiri tidak tahu doa apa yang patut saya panjatkan. Maka saya serahkan segalanya kepada-Mu. Engkau lebih mengetahui niat mereka, Engkau lebih adil dalam setiap pembalasan.
“Jika mereka tersasar, berilah mereka petunjuk. Jika mereka zalim, maka cukuplah keadilan-Mu sebagai jawapan.
“Dan untuk arwah Akiko, semoga kuburnya tetap dilimpahi rahmat, tetap bercahaya dengan kasih sayang-Mu, dan dilindungi daripada segala niat buruk manusia,” ujarnya.






