Menghidupkan semula muzium sebagai nadi ilmu, warisan, perpaduan negara

Menghidupkan semula muzium sebagai nadi ilmu, warisan, perpaduan negara


Bagi sebahagian masyarakat, muzium sering digambarkan sebagai tempat sunyi, membosankan dan dipenuhi artifak lama yang hanya menarik perhatian pelancong atau pelajar sekolah.

Namun, persepsi itu semakin jauh daripada realiti hari ini. 

Di bawah pimpinan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, usaha merakyatkan muzium kini digerakkan dengan semangat baharu, menghidupkan kembali institusi ini sebagai nadi ilmu, warisan dan perpaduan negara.

Sejak penubuhannya pada tahun 1963, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sudah memikul amanah besar menjaga khazanah negara.

Hingga tahun 2024, lebih 437,000 koleksi berharga direkodkan, menjadikan JMM antara institusi terpenting dalam memelihara warisan dan identiti bangsa Malaysia.

Muzium hari ini bukan sekadar tempat menyimpan barangan lama. Ia adalah gedung ilmu dan dokumentasi tamadun negara, iaitu tempat di mana sejarah bernafas dan kisah silam berbicara kepada generasi baharu.

Daripada jumlah koleksi keseluruhan, 322,966 daripadanya ialah koleksi arkeologi, meliputi serpihan seramik, alat batu, logam, kayu, votive tablet, manik, arca batu serta arang.

Setiap satu artifak ini menjadi saksi kewujudan tamadun awal tanah air, membuktikan, bumi Malaysia suatu ketika dahulu adalah pusat interaksi budaya dan perdagangan serantau sejak ribuan tahun lalu.

Tidak kurang menarik, 37,414 koleksi etnologi menampilkan keindahan budaya masyarakat pelbagai etnik, daripada kehalusan seni tenunan Melayu, ukiran kayu halus Borneo, hingga ke keindahan peralatan ritual dan persembahan tradisional masyarakat India dan Cina.

Antara khazanah yang menghuni galeri ini termasuk perhiasan diri, tekstil tradisional, senjata, alat muzik, topeng, wayang kulit, setem dan mata wang. Setiap satunya menggambarkan kekayaan ekspresi budaya dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras perpaduan nasional.

Dalam pada itu, sebanyak 76,666 spesimen alam semula jadi turut dipelihara termasuk burung, mamalia, reptilia, serangga, tumbuhan dan fosil geologi.

Koleksi ini bukan sahaja bernilai tinggi dari sudut sains dan pendidikan, tetapi turut memperlihatkan keunikan biodiversiti Malaysia sebagai warisan semula jadi yang wajib dipelihara untuk generasi akan datang.

Mengubah persepsi, merakyatkan muzium

Cabaran terbesar muzium masa kini bukan sekadar menjaga artifak, tetapi mengubah persepsi masyarakat terhadap peranannya.

Atas kesedaran itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui JMM memperkenalkan pelbagai inisiatif dinamik dan inklusif, yang mendekatkan muzium kepada rakyat. 

Ia bukan hanya sebagai tempat lawatan, tetapi sebagai ruang interaksi dan pengalaman hidup.

Antaranya ialah program Citra Nusa Muzium yang menjadikan muzium lebih interaktif dan dekat di hati rakyat; Semarak Muzium yang membawa pameran, bengkel dan persembahan seni ke ruang awam serta Fun@Muzium yang menyuntik elemen keseronokan dalam pembelajaran sejarah, khas buat generasi muda yang lahir dalam dunia digital.

Pendekatan baharu ini membuktikan muzium bukan sekadar untuk dilihat, tetapi untuk dihayati dan dihidupkan bersama masyarakat.

Ruang pameran kini menjadi taman ilmu dan sosial, tempat keluarga bersantai, pelajar meneroka dan masyarakat memahami akar budaya mereka dalam suasana terbuka dan inklusif.

Sejarah menyatukan

Lebih penting, sejarah yang tersimpan di muzium bukan hanya kisah masa lalu, tetapi asas kepada pembinaan perpaduan nasional. 

Melalui sejarah, rakyat dapat memahami sumbangan setiap kaum dalam membina Malaysia moden. Sejarah mengajar kita, perjuangan dan kemajuan negara ini adalah hasil pengalaman kolektif yang dikongsi bersama.

Tanpa kefahaman sejarah, kita mudah terpisah oleh perbezaan. Tetapi dengan mengenali akar dan perjalanan bangsa, kita belajar menghormati, memahami dan akhirnya bersatu atas dasar kasih kepada tanah air.

Kini, Malaysia memiliki 232 muzium di seluruh negara, termasuk 22 muzium persekutuan di bawah JMM, 63 muzium agensi dan institusi, 103 muzium negeri, serta 44 muzium swasta.

Jaringan ini bukan sekadar angka, tetapi lambang bahawa setiap negeri dan komuniti memiliki kisahnya sendiri yang wajar diraikan serta dikongsi bersama seluruh rakyat.

Dalam masa terdekat, JMM bakal melaksanakan lima program utama bagi memperluaskan Jabatan Muzium Malaysia perkenal pelbagai inisiatif dinamik, inklusif dekatkan muzium kepada rakyat Nasional penglibatan masyarakat dan memperkukuh imej muzium sebagai pusat ilmu, budaya dan perpaduan.

Semua inisiatif ini bukan sekadar acara budaya, tetapi platform penyatuan rakyat melalui seni, warisan dan ilmu. Akhirnya, tema ‘Muzium Kita, Tamadun Kita’ membawa mesej yang jelas, muzium bukan tempat tinggal sejarah, tetapi tempat lahir masa depan.

Setiap artifak, setiap kisah, dan setiap pameran adalah batu asas pembinaan jati diri bangsa.

Dengan menghargai warisan, kita sebenarnya sedang menulis bab baharu tamadun Malaysia, sebuah negara yang berilmu, berbudaya dan bersatu padu dalam semangat kenegaraan yang sentiasa menyala.

Tarik generasi muda

Dalam pada itu, gelombang baharu merakyatkan muzium turut mendapat sambutan daripada generasi muda.

Ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan, Yoshan Ganesh Mitra, 21, mengakui pandangannya terhadap muzium berubah selepas beberapa kali menyertai aktiviti anjuran JMM.

“Tahun ini sahaja saya sudah empat kali ke Muzium Negara. Banyak program dan pameran menarik dianjurkan. Tak sangka, sebab dulu saya pun fikir muzium membosankan.

“Tapi rupa-rupanya seronok. Boleh belajar, berinteraksi dan sertai aktiviti kreatif,” katanya, sambil menyifatkan usaha merakyatkan muzium sebagai langkah tepat mendekatkan belia dengan warisan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top